Skip to main content

Singapura

Pemandu SG pertimbang pengangkutan alternatif jelang tarikh akhir VEP pada 1 Okt

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Encik Kevin Lee, 41 tahun, sering merentasi Koswe dua hingga tiga kali seminggu untuk menjalankan tugasnya.

Warga Singapura itu yang bekerja dalam industri binaan sentiasa ke Johor Bahru untuk berjumpa pelanggannya. Encik Lee memberitahu Mediacorp bahawa beliau perlu memandu kerana ia menjimatkan masa.

Sekalipun demikian, Encik Lee gusar kerana beliau masih belum selesai proses pendaftaran untuk mendapatkan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) bagi keretanya.
Encik Lee berkata pendaftaran VEP beliau diluluskan tiga minggu lalu. Namun beliau belum menerima tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang diminta untuk dihantar ke rumahnya di Singapura.

"Bermula 1 Oktober, saya tidak pasti bagaimana peraturan itu akan dikuatkuasakan. Kami berada dalam sektor penjualan, jadi memandu adalah penting. Jika saya tidak dapat VEP, saya harus memberitahu majikan saya dan kami akan mempertimbangkan alternatif lain," tambah Encik Lee.

Seperti Encik Lee, ramai pemandu warga Singapura yang belum menerima VEP diwawancara Mediacorp berkata mereka tidak pasti sama ada mereka boleh menyelesaikan pendaftaran VEP tepat pada masanya.

Jika tidak, mereka tidak pasti bagaimana untuk ke Malaysia untuk beriadah, perniagaan atau berjumpa anggota keluarga.

Sementara itu, pemandu lain menggunakan cara pengangkutan alternatif seperti khidmat teksi untuk merentasi Koswe dan syarikat kereta sewa bagi meneruskan perjalanan di Malaysia.

Sebahagian daripada syarikat tersebut yang berpangkalan di Johor Bahru menyaksikan lonjakan dalam pertanyaan dan tempahan sejak baru-baru ini, bagi khidmat tersebut selepas 1 Oktober.

Apabila Mediacorp melawat pejabat VEP di Johor Bahru di Woodlands sejak dua minggu lalu, kedua-dua tempat itu sesak dengan pemandu yang mempunyai janji temu, serta mereka yang mempunyai soalan tentang proses pendaftaran.

Seorang pegawai kanan dari pejabat TCSens di Danga Bay memberitahu Mediacorp bahawa mereka sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan janji temu yang tertunggak, dan memaklumkan bahawa sejumlah pemandu hanya akan menerima tag RFID mereka selepas 1 Oktober.
(Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
MEMANDU KE JB TANPA VEP? PEMANDU TIDAK INGIN AMBIL RISIKO

Ramai pemandu memberitahu Mediacorp bahawa mereka enggan memasuki Johor menerusi pusat pemeriksaan darat selepas 1 Oktober jika pendaftaran VEP mereka belum diselesaikan.

Meskipun pihak berkuasa Malaysia belum menggariskan langkah-langkah khusus terhadap penguatkuasaan VEP di pusat pemeriksaan sempadan mulai 1 Oktober, pemandu warga Singapura menekankan bahawa mereka tidak sedia untuk mengambil risiko melanggar undang-undang Malaysia.
(Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Beberapa pemandu menggunakan khidmat syarikat perunding privet Singapura, Innox Group, yang menawarkan bantuan kepada pemandu dengan proses pendaftaran VEP dan tag RFID dengan harga kira-kira S$150.

Pengurus besar Innox, Christopher Leow, memberitahu Mediacorp bahawa ia menerima pertanyaan "yang banyak" berkaitan khidmat syarikatnya, dengan sejumlah besar pemandu "kurang mahir dengan teknologi".

Encik Leow menjelaskan bahawa ramai pemandu berdepan kesukaran dengan proses pendaftaran yang asas, seperti menghubungkan e-dompet Touch 'N Go kepada pendaftaran mereka, serta memasang tag RFID pada kenderaan.

PEMANDU MENGGUNAKAN KHIDMAT KERETA SEWA, TEKSI

Malah, beberapa pemandu yang bercakap dengan Mediacorp berkata mereka mempertimbangkan cara pengangkutan lain untuk masuk ke Malaysia selepas tarikh akhir pada 1 Oktober.

Encik Henry Chua yang bekerja dalam sektor perkhidmatan awam memberitahu Mediacorp bahawa beliau akan menggunakan khidmat teksi rentas sempadan untuk percutian bulanannya ke Malaysia, dan tidak akan memandu.

Perjalanan menggunakan teksi antara Ban San Street di Singapura dan Larkin di Johor Bahru biasanya berharga kira-kira S$60.

Encik Lee yang bekerja dalam industri binaan memberitahu Mediacorp bahawa beliau akan pertimbangkan untuk mengguna khidmat Kereta Api Ulang Alik Tebrau KTMB untuk merentasi sempadan, dan akan menyewa kereta di Johor untuk berjumpa pelanggannya, yang mungkin menetap di pelbagai tempat di Semenanjung Malaysia.

Beberapa syarikat berpangkalan di Johor Bahru yang menawarkan khidmat kereta rentas sempadan dan kereta sewa melaporkan lonjakan pada tempahan dan pertanyaan baru-baru ini.

Encik Maximilian Chua yang mengendalikan CTwo Enterprise, sebuah khidmat kereta limusin antara Singapura dengan Malaysia, memberitahu Mediacorp bahawa pertanyaan bagi tempahan naik 20 peratus bagi tempoh selepas 1 Oktober.

"Ramai di antara pelanggan ini adalah pemandu yang belum menerima VEP, mereka bertanya sama ada kami boleh mengambil mereka di Singapura dan membawa mereka ke Johor Bahru untuk sehari sebelum menghantar mereka pulang," tambahnya.

Encik Najath Amir, pengarah pengurusan Causeway Car Rental, memberitahu Mediacorp bahawa beliau menyaksikan peningkatan kira-kira 30 hingga 40 peratus bagi tempahan dan pertanyaan tentang khidmatnya bagi tempoh selepas 1 Oktober.

Encik Najath menambah bahawa terdapat peningkatan pada pelanggan yang menggunakan khidmat bas atau kereta api, dan mereka meminta untuk mengambil kereta yang disewa di pusat pemeriksaan darat, selepas mereka melepasi imigresen.

Pada masa yang sama, Encik Lee menggesa pemandu warga Singapura supaya terus mendaftar VEP, kerana beliau menyaksikan beberapa pelanggan yang menangguhkan pendaftaran, dengan harapan pihak berkuasa Malaysia akan melanjutkan tarikh akhir sekali lagi.

"Terdapat segelintir individu yang tidak yakin dengan penguatkuasaan ini, dan sama ada ia akan berlaku atau tidak, jadi mereka tunggu hingga saat terakhir. Bagi pemandu yang sedang mencuba atau baru mula proses pendaftaran, tolong faham bahawa masih banyak pendaftaran tertunggak yang perlu diselesaikan pihak berkuasa Malaysia," kata Encik Leow.

"Malaysia yakin untuk melaksanakan peraturan ini, namun semua orang boleh melihat bahawa tenaga kerja atau sistem mereka tidak sedia untuk berdepan pelbagai masalah seperti ini. Jadi, dengan tarikh akhir yang sangat ketat, tiada apa yang boleh kita lakukan," tambahnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita