Skip to main content

Singapura

Pemandu SBS serahkan S$40,000 yang ditemui dalam bas

Pemandu bas Saw Cheong Seng terperanjat apabila sedar bahawa sebuah beg yang ditinggalkan dalam basnya pada Jumaat pagi (11 Mei) mengandungi lebih S$40,000 wang tunai.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu SBS serahkan S$40,000 yang ditemui dalam bas

(Gambar: SBS Transit)

Diterbitkan : 11 May 2019 10:09PM Dikemas Kini : 11 May 2019 10:11PM

SINGAPURA: Pemandu bas Saw Cheong Seng terperanjat apabila sedar bahawa sebuah beg yang ditinggalkan dalam basnya pada Jumaat pagi (11 Mei) mengandungi lebih S$40,000 wang tunai.

Kapten bas kanan berusia 59 tahun itu sedang memandu bas nombor 63 apabila seorang penumpang memaklumkannya tentang sebuah beg yang ditinggalkan dalam bas pada sekitar 8.40 pagi, menurut kenyataan SBS.

Penumpang dalam lingkungan usia 40-an tahun itu ternampak beg tersebut sedang beliau ingin turun di perhentian bas berhadapan stesen MRT Outram Park. Beg itu diserahkannya kepada pemandu tersebut. Beliau memberitahu Encik Saw bahawa seorang penumpang lain yang meninggalkan beg itu.

Dalam perjalanan, pemandu itu mengambil sekilas pandang ke dalam beg itu dan terlihat beg plastik mengandungi kertas-kertas di dalamnya yang beliau sangkakan kertas judi.

Namun apabila sampai di Pusat Pertukaran Bas Eunos, Encik Saw membuka beg tersebut dan terlihat kepingan wang kertas S$100 dan S$50.

Beliau segera melaporkannya kepada pengurus di pusat itu. Wang yang ditemui kesemuanya bernilai S$39,602.10.

Menurut SBS, jumlah yang paling banyak pernah ditemui Encik Saw di dalam bas adalah sekitar S$100.

Encik Saw yang sudah bekerja dengan SBS Transit selama 13 tahun berkata: "Saya tidak boleh tidur malam jika saya ambil wang yang bukan kepunyaan saya. Saya akan rasa gelisah apabila penumpang saya tidak dapat kembali barang mereka yang tercicir, terutama sekali wang mereka.

"Saya tidak rasa sedap tentang hal ini. Kalau boleh, saya mahu pastikan setiap sen dikembalikan kepada penumpang itu."

Aduan polis sudah difailkan dan wang tersebut sudah diserahkan kepada polis, menurut SBS.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita