Pemandu S'pura bayar RM28,000 saman trafik tertunggak di Johor Bahru
Seorang lelaki warga Singapura membayar saman bernilai RM28,000 (S$9,220) bagi 116 saman tertunggak sejak tahun 2000 selepas ditahan dalam satu operasi di pekarangan Muzium Tokoh, di Johor Bahru Sabtu petang (29 Sep).
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura membayar saman bernilai RM28,000 (S$9,220) bagi 116 saman tertunggak sejak tahun 2000 selepas ditahan dalam satu operasi di pekarangan Muzium Tokoh, di Johor Bahru Sabtu petang (29 Sep).
Lelaki berusia 60-an tahun itu adalah antara mereka yang ditahan dalam Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing yang dijalankan di dua lokasi berasingan negeri ini, sejak Jumaat lepas.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Mohd Nadzri Hussain berkata menerusi operasi tersebut, sebanyak 3,174 saman atas pelbagai kesalahan berjaya diselesaikan, membabitkan 2,687 warga Singapura dan 487 warga tempatan.
Operasi siri kesepuluh melibatkan 116 keanggotaan itu dijalankan di Kawasan Rehat dan Rawat Gelang Patah, Iskandar Puteri dan di pekarangan Muzium Tokoh, Jalan Lingkaran Dalam, sejak 6,00 pagi pada 27 September sehingga 12.00 tengah malam ini.
“Sepanjang operasi dilaksanakan sehingga pagi ini, kami telah dapat mengutip bayaran saman kira-kira RM611,000 (S$201,200) di kedua-dua lokasi.
“Ia adalah bayaran bagi 3,174 daripada 247,278 saman tertunggak yang dicatat terhadap pemilik dan pemandu kenderaan Singapura sejak tahun 2000 hingga 2019,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi berkenaan di muzium itu, pada Ahad.
Encik Mohd Nadzri berkata kutipan dijangka akan mencecah sehingga RM750,000 (S$246,970) menjelang tengah malam ini.
Tambahnya selepas operasi tamat, mana-mana pesalah trafik terutamanya warga Singapura boleh menyemak saman dan melakukan pembayaran melalui dua mesin kios di Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan.
Warga Singapura juga boleh membayar saman Polis Diraja Malaysia di negara mereka sendiri melalui kira-kira 900 mesin AXS.
“Selain itu, medium utama yang boleh digunakan untuk menyemak dan membayar saman adalah melalui kaunter trafik COPS di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah yang menerima bayaran secara tunai, kad debit, kad kredit, draft bank dan wang pos.
“Mereka juga boleh berbuat demikian melalui portal myeg.com.my dan rilek.com.my serta menerusi pejabat pos dan ATM Maybank,” katanya.
Menurut Encik Mohd Nadzri, apabila sistem permit masuk kenderaan (VEP) dilaksanakan, semua pesalah trafik Singapura yang mempunyai saman polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan diwajibkan menjelaskan bayaran saman mereka, sebelum dibenarkan pulang ke negara berkenaan.
“Operasi ini sebenarnya adalah ke arah itu juga iaitu sebagai persediaan untuk pelaksanaan sistem VEP. Jadi, kita sarankan, mana-mana pesalah trafik Singapura tampil segera membayar saman mereka sekarang tanpa kita perlu sentiasa melaksanakan operasi,” katanya.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.