Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu Ryde digantung didakwa tidak benarkan wanita Muslim dengar bahan keagamaan dalam kereta

Seorang pemandu syarikat kereta sewa Ryde digantung selepas didakwa memberitahu seorang wanita Muslim bahawa beliau tidak boleh mendengar sebarang bahan keagamaan dalam keretanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu Ryde digantung didakwa tidak benarkan wanita Muslim dengar bahan keagamaan dalam kereta

Petikan skrin

Diterbitkan : 03 Dec 2021 10:22PM Dikemas Kini : 03 Dec 2021 10:25PM

SINGAPURA: Seorang pemandu syarikat kereta sewa Ryde digantung selepas didakwa memberitahu seorang wanita Muslim bahawa beliau tidak boleh mendengar sebarang bahan keagamaan dalam keretanya.

"Kami tidak menerima sama sekali sebarang tingkah laku tidak wajar, terutama sekali yang menyinggung kaum, agama dan budaya orang lain dan kami tidak bertolak ansur sama sekali terhadap kata-kata perkauman dan semua bentuk gangguan lain," menurut Ryde hari ini (3 Dis), menjawab pertanyaan Mediacorp.

Ini selepas satu catatan dimuat naik di laman Instagram Wake Up, Singapore hari ini, yang berkongsi pengalaman seorang wanita itu tentang apa yang didakwa berlaku.

Menurut wanita itu, beliau memakai fon telinga apabila menaiki kereta tersebut. Pemandu berkenaan "membuat isyarat" kepadanya dan berkata beliau "tidak boleh mendengar sebarang bahan keagamaan".

Pemandu itu didakwa berkata "tenaga" dalam kereta akan berubah jika wanita itu mendengar bahan keagamaan dan pemandu itu tidak boleh menerimanya.

Dalam satu video tentang insiden itu, yang dimuat naik ke laman Instagram tersebut, wanita itu boleh didengar memberitahu pemandu berkenaan agar membolehkan beliau turun daripada kenderaan.

Kemudian kedengaran suara lelaki itu menjawab: "Komisyen, awak mesti bayar." Wanita itu berkata ya sambil menambah beliau akan menghubungi Ryde.

Wanita itu juga mendakwa dalam catatan tersebut bahawa pemandu berkenaan memandu dengan lebih laju apabila beliau menyuarakan hasratnya untuk keluar daripada kereta sambil menambah beliau "berasa amat trauma" disebabkan pengalaman tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ryde memohon maaf dan menyatakan pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut.

"Kami mahu meminta maaf kepada penumpang kami dan mereka semua yang tersinggung disebabkan insiden ini," bunyi kenyataan itu.

"Kami akan berusaha dengan lebih baik lagi untuk melatih masyarakat pemandu-rakan kami untuk bersikap lebih menghormati dan mengenakan denda lebih berat kepada mereka yang gagal memenuhi piawaian masyarakat kami."

Ryde menyatakan ia sudah memulangkan wang penumpang itu sepenuhnya.

"Kami komited sepenuhnya kepada usaha membangunkan masyarakat lebih selamat dan lebih terbuka untuk semua orang dan kami menyesali pengalaman yang membuat penumpang kami berasa tidak selamat," tambah Ryde. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan