Pemandu potong barisan 'tidak hormat' pengguna jalan raya lain, kata Persatuan Automobil SG
Pemandu yang memotong barisan mungkin fikir mereka akan dapat sampai ke destinasi yang hendak dituju lebih cepat. Namun, perbuatan itu boleh menjejas aliran trafik dan menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih teruk bagi semua pemandu.

(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Pemandu yang memotong barisan mungkin fikir mereka akan dapat sampai ke destinasi yang hendak dituju lebih cepat. Namun, perbuatan itu boleh menjejas aliran trafik dan menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih teruk bagi semua pemandu.
Malah, perbuatan itu juga meningkatkan risiko berlaku kemalangan, menurut Persatuan Automobil Singapura (AAS) yang juga menyifatkan para pemandu sedemikian sebagai "tidak menghormati" pengguna jalan raya yang lain.
Isu memotong barisan itu digariskan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 16 Januari lalu ketika ia memberi amaran mengenai kesesakan lalu lintas di pusat-pusat pemeriksaan darat Singapura dengan Malaysia menjelang musim cuti akan datang.
Para pemandu yang tidak bertimbang rasa menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di pusat-pusat pemeriksaan darat Singapura, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dalam jawapan parlimennya pada 9 Januari.
Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, AAS memberi amaran risiko berlaku kemalangan meningkat jika pemandu memotong masuk ke dalam lorong secara terlalu mendadak atau terlalu lambat.
"Tambahan pula, jika kenderaan yang memotong barisan itu berhenti atau bergerak secara perlahan, ini akan menjejas dengan serius aliran trafik yang lancar, yang kemudian menimbulkan lebih banyak kesesakan lalu lintas dan waktu perjalanan lebih lama bagi semua kenderaan," tambahnya.
Mereka yang memotong masuk ke lorong lain dan menghalang laluan kenderaan lain "tidak menghormati" para pengguna jalan raya yang lain, menurut AAS sedang ia menggesa para pemandu supaya bersikap lebih berhemah di jalan raya.
Berikut apa yang boleh para pemandu lakukan bagi mengelakkan daripada memburukkan lagi kesesakan lalu lintas atau jika mereka terperangkap dalam trafik yang sibuk:
KEKAL BERWASPADA
Pemandu harus bersedia untuk mengambil tindakan mengelak kerana para pengguna jalan raya mungkin tidak selalu mematuhi undang-undang, menurut Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura (SRSC) dalam satu makluman di lamannya.
Pemandu juga harus memberi ruang kepada pemandu lain untuk memperbetulkan kesilapan mereka.
Mereka juga mesti menyesuaikan diri kepada keadaan jalan raya sambil mengawal kenderaan mereka.
"Jika perlu, pemandu perlu menghidupkan isyarat, memperlahankan kelajuan atau berhenti" apabila berdepan bahaya yang tidak diduga di jalan raya seperti jalan berlubang, cuaca buruk atau kemalangan lain," menurut makluman SRSC itu.
"Mereka tidak sepatutnya memecut, menukar lorong atau membelok dan cuba menyelit masuk ke dalam trafik."
Menurut AAS lagi, para pemandu juga harus mengelakkan sebarang gangguan seperti makan atau menggunakan telefon bimbit sekalipun jika mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
"Menyedari tindakan pemandu lain dan titik buta juga adalah penting demi memastikan keselamatan diri dalam kesibukan lalu lintas," ia menambah.
RANCANG PERJALANAN TERLEBIH DAHULU
Sejauh mungkin, elakkan kesesakan lalu lintas dan keadaan trafik yang buruk dengan membuat perjalanan di luar waktu sibuk, nasihat AAS.
Sebelum memulakan perjalanan, pemandu juga boleh merancang perjalanan mereka dengan memantau bagi sebarang kesesakan lalu lintas di jalan raya dan lebuh raya. Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan ICA Singapore memuat naik kemas kini lalu lintas ke akaun media sosial masing-masing.
"Dengan merangan perjalanan mereka, pemandu juga boleh menguruskan masa mereka dengan lebih baik dan mengelakkan daripada tergesa-gesa," menurut AAS.
Jika anda melakukan perjalanan merentas sempadan darat Singapura-Malaysia, harap maklum bahawa kesesakan lalu lintas dijangkakan sepanjang tempoh musim cuti utama.
Semasa kemuncak tempoh perayaan Tahun Baru Cina pada 2019, purata masa menunggu bagi para pelawat yang bertolak atau tiba dengan menaiki kereta melalui pusat-pusat pemeriksaan darat adalah sekitar tiga jam, menurut ICA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.