Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu Porsche ini dipenjara 3 minggu, denda S$6,000 bagi 3 kesalahan

Seorang lelaki menyerang seorang pemandu teksi selepas satu pergaduhan jalan raya. Dia kemudian melanggar peraturan COVID-19 dengan menghantar makanan kepada seorang wanita semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dan memandu pulang dalam keadaan mabuk. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu Porsche ini dipenjara 3 minggu, denda S$6,000 bagi 3 kesalahan

Wong Teck Chye di Mahkamah Negara pada 15 Mei 2020. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 22 Oct 2020 08:14PM Dikemas Kini : 22 Oct 2020 08:15PM

SINGAPURA: Seorang lelaki menyerang seorang pemandu teksi selepas satu pergaduhan jalan raya. Dia kemudian melanggar peraturan COVID-19 dengan menghantar makanan kepada seorang wanita semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dan memandu pulang dalam keadaan mabuk.

Atas lima tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, memandu laju, memandu dalam keadaan mabuk serta melanggar peraturan sosial COVID-19, Wong Teck Chye, 47 tahun, dijatuhi hukuman penjara tiga minggu dan didenda S$6,000. Dia juga diharamkan daripada memandu selama dua tahun.

Mahkamah diberitahu Wong sedang memandu kereta Porsche Panamera bersebelahan sebuah teksi yang sedang membawa seorang penumpang di Sungei Road pada 8 Ogos 2019.

Kedua-dua kenderaan itu membelok ke Bencoolen Street dan Wong salah menilai belokannya ke kanan ketika teksi itu memandu di hadapannya lantas menyebabkan roda kiri keretanya menggesel bendul jalan raya.

Berasa tidak puas hati dengan cara pemandu teksi itu memandu serta berpendapat bahawa ia sudah menyebabkan kereta Porschenya melanggar bendul jalan, Wong mengekori teksi itu dan keluar dari keretanya di Bencoolen Link untuk bersemuka dengan mangsa.

Mereka bertekak sehingga pemandu teksi itu berkata dia tidak mahu bertengkar lanjut dan menyuruh Wong melaporkan perkara itu kepada polis sekiranya dia mahu.

Ketika pemandu teksi itu cuba menutup pintu untuk beredar, Wong meletakkan lengannya di pintu dan membukanya secara paksa sebelum menendang serta menumbuk mangsa.

Wong kemudian meninggalkan tempat itu dan mangsa pergi ke hospital dengan pipi yang bengkak.

Pada 24 April lalu, apabila tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuatkuasakan untuk melarang mana-mana perhimpunan sosial tidak penting, Wong meninggalkan rumahnya sebelum pukul 4.00 petang untuk berjumpa seorang kawan.

Dia berbuat demikian kerana berasa "tertekan dengan kerja dan mahu mengadu kepada seseorang", kata Timbalan Pendakwa Raya Kor Zhen Hong.

Wong makan malam di rumah kawan wanitanya itu dan minum bir bersama-sama. Wong meninggalkan rumah tersebut selepas tengah malam setelah menogok lima tin Carlsberg.

Seorang pegawai polis trafik perasan Porsche yang dibawa Wong dipandu pada kelajuan luar biasa di Ekspreswe Tampines, yang mempunyai had kelajuan 90 kilometer sejam (kmj).

Beliau mendaftarkan kelajuan kereta itu sebagai 133kmj di alat bacaan kelajuan pada motosikal polis trafiknya dan menahan Wong berdekatan Punggol Way.

Wong gagal dalam ujian pernafasan dan dibawa ke ibu pejabat polis trafik di mana 43 mikrogram alkohol dikesan dalam 100 mililiter nafasnya, melebihi had 35 mikrogram. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan