Skip to main content

Singapura

Pemandu, penumpang diberkas berhubung nahas maut di pasar malam Circuit Road

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu, penumpang diberkas berhubung nahas maut di pasar malam Circuit Road

Dua lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes memandu secara berbahaya selepas seorang wanita terbunuh dalam kemalangan di pasar malam pada 11 Julai, 2025. (Gambar: Facebook/SGRV)

Diterbitkan : 14 Jul 2025 02:03PM Dikemas Kini : 14 Jul 2025 02:13PM
SINGAPURA: Dua lelaki berusia 38 dan 40 tahun, diberkas berhubung kemalangan kereta yang menyebabkan kematian seorang wanita di sebuah gerai pasar malam, menurut polis pada Isnin (14 Jul).

Polis berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan melibatkan sebuah kereta sewa dan seorang wanita yang sedang mengendalikan gerainya di pasar malam di Blok 52A Circuit Road pada kira-kira pukul 11.45 malam pada Jumaat lalu (11 Jul).

Wanita berusia 66 tahun itu disahkan meninggal di tempat kejadian oleh seorang paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Ia dilaporkan pada Ahad bahawa pemandu kereta itu diberkas berhubung kejadian tersebut.

"Pemandu berusia 40 tahun itu tidak menghulurkan bantuan kepada mangsa yang cedera, tetapi dia dipercayai melarikan diri dari tempat kejadian selepas berlaku kemalangan itu," menurut polis.

Polis trafik mengenal pasti identiti pemandu tersebut dan memberkasnya pada Sabtu.

Siasatan awal mendedahkan pemandu itu tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Dalam satu kemas kini pada Isnin, polis menyatakan pemandu itu sedang membantu dalam siasatan atas kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian, memandu kenderaan bermotor tanpa mempunyai lesen yang sah, menggunakan kenderaan bermotor tanpa perlindungan insurans dan gagal berhenti selepas berlaku kemalangan.

Mereka menambah seorang penumpang berusia 38 tahun turut diberkas di tempat kejadian kerana membenarkan pemandu tersebut memandu tanpa memiliki lesen yang sah dan perlindungan insurans.

Dia dipercayai menyewa kereta tersebut.

Gambar-gambar yang dimuat naik ke akaun Facebook SGRV menunjukkan kesan selepas berlaku kemalangan itu, dengan sebuah kereta GetGO berwarna hitam tersadai di tempat kejadian dengan serpihan bertaburan di sekelilingnya.

Polis mengingatkan para pemandu supaya mematuhi peraturan trafik.

Mereka yang terlibat dalam kemalangan jalan raya harus berhenti dan membantu pengguna jalan raya yang terlibat, seperti menghubungi ambulans.


"Meninggalkan tempat kemalangan tanpa memberikan bantuan adalah satu kesalahan jenayah. Polis trafik tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang memilih untuk melanggar undang-undang trafik dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita