Pemandu penghantaran Ninja Van dihukum penjara gelapkan S$18,500, telefon bimbit pelanggan
Seorang pemandu penghantaran yang dibebani hutang menggelapkan lebih S$18,000 serta telefon bimbit bernilai S$3,850 milik pelanggan Ninja Van.
(Gambar: Unsplash)
SINGAPURA: Seorang pemandu penghantaran yang dibebani hutang menggelapkan lebih S$18,000 serta telefon bimbit bernilai S$3,850 milik pelanggan Ninja Van.
Derrick Tan Jian Sheng, 35 tahun, ditangkap selepas syarikat penghantaran itu menjejakinya menggunakan sistem GPS yang dipasang pada van milik syarikat tersebut dan mengepung kenderaan itu.
Bagi satu tuduhan pecah amanah oleh seorang kakitangan, Tan dihukum penjara selama lapan bulan pada Rabu (19 Ogos).
Mahkamah diberitahu bahawa Tan mula melakukan kesalahan itu kurang sebulan selepas bekerja dalam syarikat berkenaan pada April 2018.
Dia diberi beberapa tugasan, termasuk mengutip bayaran daripada pelanggan bagi pembelian tunai apabila barang dihantar.
Wang itu perlu diserahkan kepada Ninja Van dalam tempoh 24 jam selepas penghantaran dibuat.
Dia juga bertanggungjawab melakukan penghantaran telefon bimbit yang ditukar ganti. Ninja Van memberitahu Mediacorp dalam satu kenyataan pada Rabu (19 Ogos) bahawa sistem itu adalah untuk pelanggan yang membeli telefon bimbit menerusi wadah jualan online daripada pembekal yang merupakan pelanggan Ninja Van.
Pada 2018 antara 22 Mei dengan 11 Jun, Tan melakukan 72 penghantaran melibatkan bayaran tunai dan telefon bimbit tukar ganti.
Jumlah wang tunai yang dikutip berjumlah S$18,555 selain 16 telefon bimbit bernilai S$3,850.
Bagaimanapun, Tan tidak menyerahkan wang itu kepada Ninja Van.
Sebaliknya, dia menggunakan wang tersebut untuk melunaskan hutang peribadinya, sebahagian daripadanya untuk membayar hutang lebih S$23,000 kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), menurut peguamnya.
Sebahagian lagi wang itu juga digunakan untuk membayar tailong, kata pihak pendakwa dan Tan menjual telefon bimbit yang diambilnya di Carousell.
Pada 8 Jun 2018, jabatan kewangan Ninja Van memberitahu pengurus Tan bahawa terdapat beberapa percanggahan pada akaun penghantaran yang dilakukan oleh Tan.
Rekod dalaman menunjukkan bahawa meskipun penghantaran sudah dibuat, wang dan telefon bimbit yang dikutip oleh Tan tidak dapat dikesan.
Pengurus Tan kemudian mengatur untuk berjumpa dengannya namun Tan tidak hadirkan diril dan tidak menghiraukan sebarang percubaan untuk menghubunginya.
Pengurus terbabit kemudian menghubungi polis. Melalui sistem GPS yang dipasang pada van milik syarikat, Tan dikesan berada di M Hotel dan dia mengaku mengambil barangan dan wang tunai tersebut.
Bagi kesalahan pecah amanah sebagai kakitangan, Tan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan didenda.
KAMI TIDAK BERTOLAK ANSUR SIKAP TIDAK JUJUR: NINJA VAN
Sebelum ini, seorang lagi pemandu Ninja Van dihukum penjara kerana mencuri 147 barangan milik pelanggan.
Seorang jurucakap Ninja Van memberitahu Mediacorp pada Rabu bahawa syarikat itu dengan serta-merta menggantung Tan dari tugasnya dan melancarkan siasatan dalaman sebaik sahaja mendapat tahu mungkin berlaku satu perbuatan jenayah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.