Skip to main content

Singapura

Pemandu Maserati yang heret polis trafik gagal hadir di mahkamah buat kali ketiga

Seorang pemandu Maserati yang didapati bersalah mengheret seorang pegawai polis trafik kerana cuba melarikan diri gagal menghadirkan diri di mahkamah bagi hukumannya pada Selasa (21 Jul). Ini adalah kali ketiga dia berbuat demikian.  

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu Maserati yang heret polis trafik gagal hadir di mahkamah buat kali ketiga

Pemandu Maserati, Lee Cheng Yan di luar Mahkamah Negara pada 3 Okt 2019. (Gambar: Najeer Yusof/TODAY)

Diterbitkan : 21 Jul 2020 09:12PM Dikemas Kini : 21 Jul 2020 09:14PM

SINGAPURA: Seorang pemandu Maserati yang didapati bersalah mengheret seorang pegawai polis trafik kerana cuba melarikan diri gagal menghadirkan diri di mahkamah bagi hukumannya pada Selasa (21 Jul). Ini adalah kali ketiga dia berbuat demikian.

Lee Cheng Yan, 36 tahun, disabit kesalahan pada Disember 2019 atas kesemua 10 tuduhan yang dihadapi termasuk dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang penjawat awam, gagal memberhentikan kenderaan setelah satu kemalangan dan menghalang proses keadilan.

Timbalan Pendakwa Raya Senthilkumaran Sabapathy berkata beliau dimaklumkan pada Isnin bahawa Lee tidak dapat hadir di mahkamah kerana cuti sakit - alasan yang sama diberikan pada dua kesempatan sebelumnya.

Encik Sabapathy menarik perhatian bahawa dalam ketiga-tiga kesempatan itu,Lee pergi ke klinik privet yang sama - Goh Medical Clinic - untuk mendapatkan sijil cuti sakit (MC).

Hukuman asal Lee dijadualkan pada 1 Apr sebelum ia ditunda kepada 30 Jun dan kemudian kepada 21 Jul. Lee diberi lima hari cuti sakit setiap kali.

Bagi kesnya pada Selasa, Lee mendapat MC bagi cuti sakit antara 20 Jul hingga 23 Jul bagi penyakit pernafasan akut, kata Encik Sabapathy di mahkamah.

Di bawah peraturan COVID-19, Lee sepatutnya duduk di rumah sepanjang tempoh MC itu atau sehingga dia menjalani ujian swab dan didapati negatif.

Encik Sabapathy berkata maklumat itu "penting" kerana ia bermakna Lee mungkin boleh menjalani ujian 24 jam selepas dia mendapat surat rujukan daripada doktornya.

Encik Sabapathy berkata adalah "membimbangkan" bahawa Lee tidak mendapatkan ujian swab sejurus selepas berjumpa doktor atas dua sebab. Pertama, ia menunjukkan dia "tidak bertanggungjawab" dalam "iklim semasa". Kedua, ia menunjukkan dia cuba "mempermainkan sistem supaya tidak menghadapi hukuman".

Tindakan Lee "mengecewakan tetapi tidak mengejutkan", kata Encik Sabapathy.

Pihak pendakwa memohon syarat ikat jamin tambahan dikenakan, termasuk syarat jika tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah atas alasan perubatan, dia harus melapor ke klinik pemerintah untuk mendapatkan nasihat perubatan dan bukan klinik swasta.

Encik Sabapathy berkata syarat itu juga akan memanfaatkan Lee.

Sekiranya Lee mendapatkan nasihat perubatan di sebuah penyedia perubatan awam, dia boleh menjalani ujian swab segera berbanding jika dia pergi menemui seorang doktor privet yang tidak menawarkan khidmat ujian dan lantas perlu mengeluarkan surat rujukan.

Permintaan itu, kata Encik Sabapathy, "cukup luas tetapi munasabah".

Peguam bela, Balamurugan Selvarajan, yang mewakili Lee, juga menyetujui permintaan itu dengan berkata bahawa tindakan Lee memohon cuti sakit adalah "di luar kawalannya" pada ketiga-tiga kesempatan itu dan beliau tidak tahu sehingga Lee memberitahunya.

Encik Selvarajan menambah beliau juga sudah menasihati Lee supaya segera melakukan ujian swab itu.

Hukuman Lee ditangguhkan ke pagi 28 Jul.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita