Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu Maserati dilarang memandu seumur hidup, dipenjara lebih 4 tahun kerana heret polis semasa cuba larikan diri

Seorang pemandu Maserati dihukum penjara empat tahun dan tujuh bulan serta lesen memandunya digantung seumur hidup pada Selasa (28 Julai) kerana mengheret seorang pegawai polis trafik dengan keretanya sejauh lebih 100 meter semasa cuba melarikan diri.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu Maserati dilarang memandu seumur hidup, dipenjara lebih 4 tahun kerana heret polis semasa cuba larikan diri

Lee Cheng Yan (tengah) (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 28 Jul 2020 08:01PM Dikemas Kini : 28 Jul 2020 08:07PM

SINGAPURA: Seorang pemandu Maserati dihukum penjara empat tahun dan tujuh bulan serta lesen memandunya digantung seumur hidup pada Selasa (28 Julai) kerana mengheret seorang pegawai polis trafik dengan keretanya sejauh lebih 100 meter semasa cuba melarikan diri.

Lee Cheng Yan, 36 tahun, juga didenda S$3,700.

Lee disabit kesalahan atas 10 tuduhan pada Disember tahun lalu, termasuk sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang penjawat awam, gagal memberhentikan kenderaan setelah satu kemalangan dan menghalang proses keadilan.

Pada 17 Nov 2017, Lee, yang lesennya digantung ketika itu, memandu Maserati miliknya untuk mengambil komputer riba daripada seorang lelaki di Bedok Reservoir Road.

Pegawai polis trafik Khairulanwar Abd Kahar - yang berpakaian seragam dan sedang melakukan rondaan bermotosikal - melihatnya memandu tanpa menggunakan tali pinggang keledar dan memberi isyarat memintanya berhenti.

Seragam Staf Sarjan Khairulanwar kemudian tersepit pada pintu pemandu kereta dan beliau diheret bersama kenderaan yang bergerak. Lee memandu sejauh 124 meter dengan pegawai itu berpaut pada pintu sebelah pemandu dengan kelajuan 79km/j hingga 84km/j.

Pegawai itu kemudian terjatuh dan diberi cuti sakit lebih 20 hari kerana kecederaan pada bahagian lutut, leher dan belakang tubuh dan kemudian diturunkan taraf perubatannya oleh lembaga perubatan Home Team.

Lee sebelum ini menafikan dirinya adalah pemandu Maserati tersebut, dengan memberi keterangan di mahkamah bahawa pemandu terlibat adalah seseorang bernama Kelvin - yang katanya mempunyai bentuk badan serupa dan memakai kemeja-T putih sama - yang memandu kenderaan itu pada hari kejadian.

Atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan parah untuk menghalang seorang penjawat awam daripada melaksanakan tugasnya, Lee berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda atau sebat.

Dia gagal hadir di mahkamah sebanyak tiga kali sebelum ini bagi hukuman dijatuhkan kerana cuti sakit, setelah memperoleh sijil perubatan dari klinik privet pada ketiga-tiga tarikh tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Senthilkumaran Sabapathy meminta Lee dijatuhkan hukuman penjara empat tahun sembilan bulan, selain denda dan larangan memandu seumur hidup.

Beliau merujuk kepada beberapa kesalahan yang dilakukan Lee sejak 2011 - termasuk memandu tanpa lesen dan mengubahsuai sistem ekzos keretanya secara haram - serta insiden pada 2016 di mana kenderaannya bertembung dengan motosikal, mencederakan penunggang dan pemboncengnya.

Encik Sabapathy berkata Staf Sarjan Khairulanwar terus merasakan sakit di bahagian bawah belakangnya, dan kecederaan yang dialami serta penurunan taraf perubatan menjejas peluang kerjayanya.

"MENGADA-ADAKAN CERITA DONGENG"

Dengan berkata bahawa Lee tidak serik setelah digantung lesennya sebelum ini dan dia "sudah cukup menyakiti orang di jalan raya", Encik Sabapathy berhujah tiada alasan untuk menjatuhkan hukuman lebih ringan daripada perintah larangan memandu seumur hidup.

Beliau menambah bahawa Lee "mengada-adakan cerita dongeng" dalam pembelaan awalnya dengan berkata orang lain yang memandu Maserati tersebut pada masa kejadian.

Lee bercadang untuk mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan