Skip to main content

Singapura

Pemandu Maserati didapati bersalah heret pegawai polis trafik sejauh 124 meter

Seorang lelaki yang menafikan dirinya ialah pemandu kereta Maserati yang mengheret seorang pegawai polis trafik dalam satu percubaan untuk meloloskan diri, didapati bersalah hari ini (4 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu Maserati didapati bersalah heret pegawai polis trafik sejauh 124 meter

Pemandu Maserati, Lee Cheng Yan di luar Mahkamah Negara pada 3 Okt 2019. (Gambar: Najeer Yusof/TODAY)

Diterbitkan : 04 Dec 2019 09:37PM Dikemas Kini : 04 Dec 2019 09:43PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang menafikan dirinya ialah pemandu kereta Maserati yang mengheret seorang pegawai polis trafik dalam satu percubaan untuk meloloskan diri, didapati bersalah hari ini (4 Dis).

Lee Cheng Yan, 35 tahun, didapati bersalah setelah perbicaraan bagi 10 dakwaan termasuk sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas kakitangan perkhidmatan awam, gagal menghentikan kenderaan setelah berlaku kemalangan dan menghalang keadilan.

Hakim Daerah Ng Peng Hong mendapati Cheng bersalah atas kesemua tuduhan, sambil berkata pihak pendakwa raya menentukannya tanpa keraguan munasabah.

HANYA SATU SAKSI YANG KENALPASTI LEE: PEGUAM BELA

Peguam bela Lee, Balamurugan Selvarajan merayu kepada hakim supaya membebaskan anak guamnya dari semua tuduhan, sambil berkata pihak pendakwa gagal membuktikan Lee berniat menyebabkan kecederaan parah atau sedar bahawa mengundurkan atau melencongkan kenderaannya akan menyebabkan kecederaan parah kepada pegawai itu.

Menurutnya, kecederaan itu berlaku apabila pegawai itu terjatuh daripada kenderaan berkenaan dan bukan sebelumnya, serta berkata hanya seorang saksi yang dapat mengenalpasti Lee sebagai pemandu kereta itu.

"Meskipun begitu, mutu kenyataan saksi itu adalah atas dasar ia adalah pandangan sepintas lalu, melalui tingkap yang digelapkan," kata Encik Balamurugan.

Menurutnya lagi, tiada bukti menunjukkan saksi dapat mengenal pasti Lee dari barisan suspek dan beliau hanya mengenal pasti Lee dalam mahkamah kerana beliau melihat gambar Lee dalam laporan berita dan media sosial sehari selepas kejadian itu.

Encik Balamurugan juga berkata tiada bukti kukuh menunjukkan Lee ialah pemandu kereta Maserati pada malam itu.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Timotheus Koh tidak bersetuju kerana ada "banyak" bukti. Menurutnya, mangsa terperangkap pada tepi tingkap tempat duduk pemandu dan berada di sebelah pemandu.

"Tidak dapat dibayangkan bagaimana Lee tidak sedar mangsa diheret, namun tetap memandu," katanya. "Sekurang-kurangnya pemandu akan sedar dia akan menyebabkan kecederaan pada mangsa apabila beliau diheret bersama kenderaan."

Encik Koh menambah Lee mengakui semasa perbicaraan bahawa pegawai polis itu mungkin cedera parah jika diheret sebegitu, dan pada masa yang sama akan jatuh dan mengalami kecederaan jika perkara itu berlaku.

DI MANA KELVIN?

"Pihak pembela berdiam diri berkenaan siapakah Kelvin dan sejauh ini, tidak mengatakan siapa Kelvin meskipun Kelvin merupakan individu utama dalam kes pihak pembela," kata pendakwa raya.

Pihak peguam bela telah berkata tindakan anak guamnya menggambarkan Kelvin seperti gambaran yang beliau sendiri berikan, menunjukkan kejujurannya, namun Encik Koh berkata ia alasan yang tidak kukuh.

"Ia bukan kerana Lee jujur - jauh sekali, tetapi kerana ia adalah satu pembohongan yang kononnya kesalahan itu tidak dilakukan olehnya tetapi sebaliknya oleh seseorang yang kelihatan sepertinya," katanya. "Dia tidak seharusnya dilepaskan dengan penipuan sebegitu."

Setelah Lee diberkas, pihak pendakwa raya memohon sekurang-kurangnya peningkatan 50 peratus pada jumlah ikat jamin sebanyak S$60,000 sekarang.

Hakim pula memutuskan untuk menaikkan ikat jamin sebanyak S$10,000 kepada S$70,000 dan menangguhkan hukuman kepada 14 Januari.

Hukuman bagi menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja untuk menghalang kakitangan perkhidmatan awam daripada menjalankan tugasnya adalah hukuman penjara selama 15 tahun dan denda atau sebatan rotan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita