Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu mabuk diberkas; pegawai Certis Pusat Pemeriksaan Tuas cedera parah pada bahagian kepala

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 42 tahun diberkas kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah dan memandu dalam keadaan mabuk menyusuli kemalangan di Pusat Pemeriksaan Tuas pada awal pagi Jumaat (24 Mac). 

Lesen memandunya digantung berkuat kuasa serta-merta, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat. 

Seorang pegawai polis tambahan berusia 28 tahun yang sedang bertugas, cedera parah di kepala dan tidak sedarkan diri selepas dilanggar kenderaan itu.

Pemandu itu, seorang warga Singapura, mengalami luka dan kedua-dua pemandu dan pegawai itu dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH). 

ICA dan SPF bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai keadaan pemandu itu. 

Siasatan awal mendapati pemandu itu dipercayai memandu pada kelajuan yang tinggi dalam keadaan mabuk di jejambat menghala ke Pusat Pemeriksaan Tuas. 

Dia kemudian hilang kawalan keretanya dan melanggar pondok pengawasan, menyebabkan keretanya terbalik dan merempuh pegawai tersebut. 

"Pasukan respons ICA dikerahkan ke tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan dan mengepung kawasan itu. Para pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Polis Trafik turut dikerahkan," menurut ICA dan SPF. 

Kereta berdaftar Singapura itu dirampas dan siasatan polis sedang dijalankan.

ICA dan Certis yang menggajikan pegawai itu, sedang berhubungan dengan keluarga pegawai tersebut untuk menghulurkan bantuan dan sokongan yang diperlukan. 

ICA menyatakan: "Pegawai kami dikerahkan ke pusat pemeriksaan, termasuk APO, untuk melaksanakan tugas mereka bagi melindungi sempadan Singapura." 

"Pengguna jalan raya yang menggunakan pusat pemeriksaan perlu memandu dengan selamat dan mematuhi undang-undang trafik, bukan hanya untuk keselamatan mereka, tetapi juga keselamatan pegawai kami. 

"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas sekiranya peraturan terang-terangan dilanggar." 

Jika didapati bersalah kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah, pemandu itu berdepan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun. Pesalah berulang boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun. 

Hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk adalah denda antara S$2,000 hingga S$10,000 dan hukuman penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya. 

Jika didakwa buat kali kedua atau lebih dari itu, hukumannya adalah denda S$5,000 hingga S$20,000 dan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. 

Pesalah juga tidak akan dibenarkan memandu semua jenis kenderaan. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan