Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu lori dipenjara, dilarang memandu 8 tahun, langgar wanita yang kemudiannya meninggal dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu lori dipenjara, dilarang memandu 8 tahun, langgar wanita yang kemudiannya meninggal dunia

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

SINGAPURA: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan dilarang memandu selama lapan tahun pada Jumaat (11 Feb) selepas dia melanggar seorang ibu berusia 52 tahun yang sedang melintas jalan. Wanita itu kemudian meninggal dunia akibat kecederaannya.

Gan Lian Min, 70 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan memandu tanpa berjaga-jaga dan memberi perhatian sepatutnya, dengan gagal menjaga keselamatan pejalan kaki sebelum membelok kenderaannya ke kanan.

Cik Or Cheng Khim sedang dalam perjalanan pulang membawa sushi untuk meraikan keputusan peringkat O bersama anaknya apabila kejadian itu berlaku.

Mahkamah diberitahu bahawa Gan memandu lorinya di Yuan Ching Road pada kira-kira 8.30 malam, 12 Januari tahun lalu.

Semasa dia menghampiri simpang-T tanpa isyarat di Yuan Ching Road dan Yung Kuang Road, dia memperlahankan lorinya tetapi tidak berhenti.

Selepas memastikan tiada kenderaan dari arah depan, dia membelok ke kanan dari Yuan Ching Road ke Yung Kuang Road. Hujan sedang turun ketika itu.

Cik Or sedang melintas Yung Kuang Road pada masa yang sama, dari arah kiri ke kanan Gan. Gan tidak menyedari kehadirannya dan bahagian depan kiri lori tersebut melanggar beliau.

Gan menghentikan lorinya, turun dan membantu wanita itu sebelum menghubungi polis. Cik Or mengalami serangan jantung selepas kemalangan itu dan dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Besar Ng Teng Fong.

Mangsa juga mengalami pelbagai kecederaan, termasuk patah tulang di bahagian belakang dan pangkal tengkorak. Cik Or disahkan meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Ucapan takziah datang mencurah termasuk daripada mantan Anggota Parlimen Amrin Amin

Menurut catatan Facebooknya pada 20 Januari tahun lalu, Cik Or mendermakan buah pinggang, hati dan korneanya.

Peguam Gan, Clarence Lun dari Fervent Chambers, berkata anak guamnya amat menyesali perbuatannya dan telah meminta maaf kepada keluarga Cik Or.

"Keluarga mangsa sudah memaafkannya malah memberitahu Gan ia adalah satu kemalangan," kata Encik Lun, sambil menambah bahawa kesalahan tersebut dan kesannya akan terus diingati Gan seumur hidup.

Bagi kesalahan memandu tanpa berjaga-jaga dan memberi perhatian sepatutnya, Gan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda tidak melebihi S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan