Pemandu lori dipenjara 40 hari, seludup 750 vape ke SG dari Malaysia

Gambar: Penguasa Sains Kesihatan
SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Malaysia dihukum penjara 40 hari kerana menyeludup alat pengewap elektronik atau 'vape' dan perkakas berkaitan, ke Singapura.
Maran Seger ditangkap membawa masuk 750 vape dan 3,150 perkakas berkaitan, dianggarkan bernilai S$73,000, menurut kenyataan bersama Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Khamis (7 Dis).
Barangan tersebut ditemui semasa satu pemeriksaan rutin di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 20 Oktober.
Pegawai ICA di mengesan kejanggalan dalam imej imbasan lori yang dipandu Maran.
Setelah melakukan pemeriksaan lanjut, para pegawai ICA menemui kotak berisi alat pengewap elektronik dan perkakasnya yang disembunyikan dalam karton yang mengandungi produk syampu.
Maran, 31 tahun, yang membuat penghantaran produk kosmetik ke Singapura dua kali seminggu, didapati telah menyeludup barangan larangan itu dari Ogos hingga Oktober.
HSA mengeluarkan amaran keras kepada syarikat pengangkutan dan pemandu supaya tidak membawa masuk barangan yang tidak diketahui dan produk tembakau terlarang ke negara ini. Pesalah akan ditahan di Singapura semasa siasatan dan, apabila disabitkan kesalahan, boleh dilarang daripada memasuki negara ini.
Mereka yang mempunyai maklumat tentang import, pengedaran, penjualan atau tawaran untuk penjualanvape secara haram boleh melaporkannya kepada Cawangan Peraturan Tembakau HSA. Pesalah berulang boleh dikenakan denda sehingga S$20,000, penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.