Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu lori dipenjara 4 bulan kerana pandu dengan cuai; seorang penunggang motosikal maut

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu lori dipenjara 4 bulan kerana pandu dengan cuai; seorang penunggang motosikal maut

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Seorang pemandu lori dikenakan hukuman penjara empat bulan pada Selasa (28 Jun) kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dan mencederakan dua lagi penunggang.

Shi Guohua, 48 tahun sedang membelok ke kanan dari Jalan Boon Lay ke Enterprise Road ketika kejadian itu berlaku pada pagi 29 Februari 2020.

Shi juga dilarang memandu selama lapan tahun selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan memandu tanpa pertimbangan yang munasabah kepada pengguna jalan raya lain.

Dua lagi tuduhan berkaitan dengan dua penunggang motosikal yang cedera diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa berusia 40 tahun itu bekerja di Exxon Mobil. Beliau baru sahaja habis kerja pada pagi itu dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama dua rakan sekerjanya. Mereka masing-masing menunggang motosikal mereka sendiri.

Pada sekitar pukul 8.40 pagi, mangsa sedang menunggang di lorong pertama Jalan Boon Lay menghala ke Jalan Bahar. Rakan sekerjanya berada di lorong pertama dan kedua.

Pada masa yang sama, Shi sedang memandu di lorong pertama Jalan Boon Lay dari arah bertentangan. Dia membelok kanan ke Enterprise Road langsung ke laluan ketiga-tiga motosikal itu.

Shi mengaku tidak memeriksa sama ada terdapat kenderaan lain sebelum membelok, menurut dokumen mahkamah.

Mangsa cuba mengelak bertembung dengan lori Shi namun tidak dapat berbuat demikian. Beliau terlanggar bahagian kiri belakang lori itu dan tercampak dari motosikalnya.

Dua rakan sekerjanya juga bertembung dengan lori Shi dan terjatuh ataupun tercampak dari motosikal mereka.

Mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan meninggal dunia sekitar sejam kemudian.

Sebuah laporan forensik Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendapati jika Shi memeriksa laluan trafik dari arah bertentangan, kemungkinan besar dia akan melihat mangsa.

Laporan itu juga mendapati mangsa menunggang pada kelajuan 103 kilometer sejam hingga 135 kilometer sejam ketika itu yakni melebihi had kelajuan 70 kilometer sejam. Dua rakan sekerjanya juga sedang memecut.

Perbuatan mereka itu turut menyumbang kepada kemalangan tersebut. Dengan itu, ia mengurangkan kesalahan Shi, kata Timbalan Pendakwa Raya Thiagesh Sukumaran.

Hukuman bagi memandu tanpa pertimbangan yang munasabah sehingga menyebabkan kematian ialah penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
 
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan