Skip to main content

Singapura

Pemandu lori didenda rempuh jambatan Chinatown dengan kren

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu lori didenda rempuh jambatan Chinatown dengan kren

(Gambar fail: CNA/Davina Tham)

Diterbitkan : 03 Dec 2024 05:14PM Dikemas Kini : 03 Dec 2024 05:15PM
SINGAPURA: Seorang pemandu lori didenda S$3,000 pada Selasa (3 Dis) kerana merempuh jambatan pejalan kaki di Chinatown dengan kenderaannya, yang sedang membawa kren.

Sun Qiang, 47 tahun, juga diharamkan daripada memandu kenderaan berat selama enam bulan.

Dia mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya, dengan satu lagi tuduhan turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 13 Mac, sekitar pukul 11.10 pagi, Sun sedang memandu di Eu Tong Sen Street di Chiantown.

Lori tersebut sedang membawa kren, dan Sun terlupa untuk menurunkan kren itu sepenuhnya sebelum bergerak.

Ini bermakna ketinggian keseluruhan lori itu melebihi 4.5 meter.

Ia merempuh jambatan penghubung antara People's Park Complex dan Lucky Chinatown.

Terdapat tanda-tanda geseran di bahagian bawah jambatan dan catnya juga terkikis.

Semasa rempuhan itu, kren tersebut juga tercabut dari lori.

Kerosakan itu memerlukan S$3,000 untuk dibaiki, menurut pendakwa polis.

Gambar-gambar menunjukkan lori itu terjongket, dengan serpihan kaca di jalan raya.

Menurut peguam Sun, kaca itu adalah daripada bahan di atas lori tersebut.

Sun sebelum ini didenda S$600 kerana memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan pada 2021, dan juga satu lagi kesalahan memandu sambil menggunakan telefon bimbit pada 2023.

Pendakwa mengusulkan denda S$3,000 dan larangan memandu antara enam bulan hingga setahun bagi kenderaan Kelas 4, 4A dan 5, yang dikhususkan bagi kenderaan berat.

Beliau berkata sekalipun kerosakan pada jambatan itu agak kecil, tindakan Sun membahayakan pengguna jalan raya.

Peguam bela Sun memohon denda S$2,000 dan larangan memandu empat hingga enam bulan, sambil menekankan bahawa kerosakan akibat nahas itu tidak besar dan tiada orang yang cedera.

Hukuman bagi kesalahan memandu kenderaan berat dan menyebabkannya merempuh bangunan atau struktur adalah penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita