Skip to main content

Singapura

Pemandu lori diberkas selepas kenderaan berat rosakkan terowong CTE

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu lori diberkas selepas kenderaan berat rosakkan terowong CTE

Gambar: Facebook/SG Road Vigilante, Singapore roads accident.com

Diterbitkan : 09 Nov 2024 10:36AM Dikemas Kini : 09 Nov 2024 01:18PM
SINGAPURA: Seorang pemandu lori diberkas selepas sebuah kren yang dipasang pada kenderaan tersebut merosakkan bumbung terowong Ekspreswe Central (CTE) itu.

Insiden tersebut berlaku pada sekitar tengah hari pada Jumaat (8 Nov) di laluan masuk Cairnhill Circle di CTE menghala ke Ekspreswe Seletar (SLE).

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Dalam memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan seorang lelaki berusia 55 tahun diberkas kerana memandu kenderaan berat dengan ketinggian melepasi had 4.5 meter tanpa diiringi pegawai polis mahupun pegawai polis tambahan (APO).

Akibatnya, laluan masuk terowong CTE tersebut di Cairnhill Circle ditutup.

"Nahas tersebut menyebabkan kerosakan pada sebilangan peralatan elektrik dan mekanikal di bumbung terowong berkenaan," jelas Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

"Tiada kerosakan struktur dilaporkan pada terowong itu."

Jalan susur tersebut ditutup bagi kerja-kerja pembaikan, yang sudahpun selesai dijalankan.

Jalan susur itu dibuka semula kepada lalu lintas pada 10.35 malam pada Jumaat.
Rakaman dari kamera dalam sebuah kenderaan yang dimuat naik pada Jumaat oleh laman Facebook SG Road Vigilante menunjukkan kerosakan teruk disebabkan tindakan cuai pemandu lori kren itu, dengan wayar terjuntai dari bumbung terowong berkenaan.

Memandangkan kerosakan itu hanya kelihatan menjejas bahagian terowong dekat dengan laluan masuknya, pemandu lori kren itu berkemungkinan menyedari tentang keadaan kren pada kenderaan tersebut sebaik sahaja dia memasuki terowong berkenaan.

Di catatan Facebook SG Road Vigilante tersebut, warganet rata-rata mempersoalkan mengapa pemandu kenderaan lain tidak memberi isyarat ataupun membunyikan hon mereka untuk memaklumkan pemandu terbabit, memandangkan pemandu lori itu barangkali tidak menyedari keadaan kren sedemikian.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita