Skip to main content

Singapura

Pemandu lori diberkas langgar lampu merah, bertembung dengan lori lain, mencederakan 21 orang

Seorang pemandu lori berusia 24 tahun diberkas selepas melanggar lampu merah dan bertembung dengan sebuah lagi lori, menyebabkan 21 orang cedera, menurut pihak polis pada Jumaat (17 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu lori diberkas langgar lampu merah, bertembung dengan lori lain, mencederakan 21 orang

Kemalangan tersebut berlaku di persimpangan jalan Choa Chu Kang Way berhampiran Sungei Kadut Avenue dan Sungei Kadut Loop. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

SINGAPURA: Seorang pemandu lori berusia 24 tahun diberkas selepas melanggar lampu merah dan bertembung dengan sebuah lagi lori, menyebabkan 21 orang cedera, menurut pihak polis pada Jumaat (17 Okt).

Kejadian berlaku pada Rabu pada pukul 10.45 malam.

Pemandu tersebut, yang membawa sembilan penumpang, gagal mematuhi isyarat lampu merah di persimpangan jalan Choa Chu Kang Way berhampiran Sungei Kadut Avenue dan Sungei Kadut Loop.

Lori yang dipandunya bertembung dengan sebuah lagi lori yang sedang melalui persimpangan itu ketika lampu isyarat hijau menyala, menurut polis.

“Lori satu lagi itu membawa 11 penumpang. Selain pemandu yang melanggar lampu merah, 21 individu lain daripada kedua-dua kenderaan telah dibawa ke hospital, dengan kecederaan termasuk patah tulang, luka dan kesakitan badan,” menurut kenyataan polis.

Lelaki itu diberkas atas kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan parah, dan siasatan polis sedang dijalankan.

Sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memaklumkan mereka menggunakan peralatan penyelamat hidraulik untuk mengeluarkan seorang mangsa yang terperangkap di tempat duduk penumpang lori.

Enam orang dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat, manakala 15 orang lagi dihantar ke Woodlands Health Campus, tambah SCDF.

Menurut polis, kesalahan melanggar lampu merah kekal sebagai isu serius yang membimbangkan.

“Walaupun jumlah kesalahan melanggar lampu merah turun sebanyak 25.3 peratus kepada 13,073 pada separuh pertama 2025 berbanding 17,508 pada tempoh yang sama pada 2024, jumlah kemalangan akibat kesalahan tersebut, termasuk yang mengakibatkan kematian, meningkat sebanyak 38.3 peratus kepada 65 pada separuh pertama 2025, berbanding 47 pada separuh pertama 2024,” menurut polis.

“Kesalahan sebegini membahayakan semua pengguna jalan raya dan boleh menyebabkan kemalangan serius seperti kejadian ini. Polis trafik mengambil pendirian tegas terhadap tingkah laku berbahaya sedemikian.”

Kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan parah boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun dan penggantungan lesen memandu bagi semua kelas kenderaan.

Bagi kesalahan berulang atau sabitan kedua, pemandu boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan penggantungan lesen memandu bagi semua kelas kenderaan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif keselamatan jalan raya yang sedang dijalankan sejak Januari 2024, polis trafik memudahkan pemasangan wajib peranti had kelajuan pada lori yang mempunyai berat maksimum antara 3,500 kilogram (kg) hingga 12,000kg. Langkah itu memastikan lori tidak boleh memandu melebihi had kelajuan 60 kilomter sejam.

“Peranti had kelajuan meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna, termasuk para pekerja yang diangkut menggunakan lori sebagai sebahagian daripada urusan kerja mereka. Syarikat yang mengendalikan lori dalam kategori ini mesti mengutamakan pemasangan peranti tersebut melalui ejen bertauliah tanpa berlengah, dengan tarikh akhir pertama ditetapkan pada 1 Januari 2026,” menurut polis.

Polis menambah bahawa kemalangan tersebut menjadi peringatan kepada syarikat supaya memupuk budaya keselamatan yang kukuh dalam kalangan pemandu mereka, dengan menekankan kepentingan mematuhi isyarat lalu lintas dan peraturan jalan raya.

Syarikat juga digalakkan mengambil langkah proaktif dalam pengurusan keselamatan kenderaan, termasuk latihan pemandu dan pematuhan keselamatan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita