Skip to main content

Singapura

Pemandu lori akan didakwa akibatkan kerosakan S$1.4 juta terhadap terowong CTE

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu lori akan didakwa akibatkan kerosakan S$1.4 juta terhadap terowong CTE

Kerosakan yang disebabkan oleh lori selepas ia berlanggar dengan penghadang had ketinggian dan unit mekanikal dan elektrik terowong CTE pada 8 November, 2024. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 30 Jul 2025 11:06AM Dikemas Kini : 30 Jul 2025 11:08AM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 55 tahun akand didakwa di mahkamah pada Rabu (30 Jul) selepas lorinya yang dipasang kren menyebabkan kerosakan terhadap terowong Ekspreswe Central (CTE) pada tahun lalu.

Polis menyatakan pihaknya dimaklumkan pada 8 November 2024 pada waktu tengah hari mengenai kejadian itu, yang berlaku apabila kenderaan berat itu memasuki laluan masuk Cairnhill Road ke dalam terowong CTE.

Siasatan mendapati lelaki itu memandu lori tersebut dengan keadaan boom kren ternaik apabila boom kren tersebut melanggar penghadang had ketinggian dan terowong itu.

Pelanggaran itu menyebabkan kerosakan besar terhadap penghadang had ketinggian dan beberapa unit mekanikal dan elektrik terowong, yang berjumlah kira-kira S$1.4 juta.

"Pemandu lori itu diberkas pada hari yang sama atas kesalahan memandu kenderaan berat yang melanggar sebarang bangunan atau struktur dan memandu kenderaan berat dengan ketinggian melebihi 4.5 meter tanpa pengawalan polis," menurut polis dalam satu kenyataan media pada Selasa.

"Ini adalah kali kedua dia melakukan kedua-dua kesalahan itu."

Hukuman bagi kesalahan memandu kenderaan berat dengan keseluruhan ketinggian melebihi 4.5 meter tanpa pengawalan polis adalah hukuman penjara antara satu dengan tiga tahun dan denda sehingga S$2,000.

Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara antara dua dengan lima tahun, dan denda sehingga S$5,000.

Bagi kesalahan memandu kenderaan berat yang melanggar sebarang bangunan atau struktur, para pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$5,000, dihukum penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Para pesalah berulang boleh dikenakan hukuman lebih berat manakala para pesalah juga boleh dilarang daripada memandu semua kelas kenderaan.

Polis mengingatkan para pemandu dan pemilik kenderaan berat yang melebihi ketinggian 4.5 meter bahawa mereka perlu dapatkan pengawalan polis atau pasukan polis tambahan.

"Pemandu harus merancang laluan mereka dengan teliti untuk mengelakkan jalan dan struktur yang terhad ketinggiannya. Polis Trafik memandang serius kesalahan sedemikian kerana ia menjejas infrastruktur jalan dan membahayakan pengguna jalan raya lain," kata polis.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu yang gagal mendapatkan pengawalan yang diperlukan atau menyebabkan kerosakan pada bangunan dan struktur."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita