Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu kereta yang rempuh bas ada sejarah sawan; abaikan nasihat perubatan agar jangan memandu

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu kereta yang rempuh bas ada sejarah sawan; abaikan nasihat perubatan agar jangan memandu

Gambar nahas di Woodlands Avenue 9, yang tular di media sosial.

Diterbitkan : 16 Mar 2023 05:53PM Dikemas Kini : 16 Mar 2023 07:24PM

SINGAPURA: Lelaki yang maut selepas keretanya merempuh sebuah bas pada 1 September 2022 mempunyai sejarah sawan dan tidak mengendahkan nasihat perubatan agar tidak memandu, dedah siasatan koroner pada Khamis (16 Mac).

Koroner Sharmila Sripathy membuat keputusan terbuka di atas pemergian Muhammad Hadi Sazali, 32 tahun, selepas mendapati tindakannya sebelum nahas itu tidak dapat dikaitkan secara muktamad dengan epilepsi atau keadaan sawannya itu.

Namun beliau berkata ia "sangat tidak bernasib baik" lelaki itu gagal mengikut nasihat karyawan perubatan yang memeriksanya.

Kemalangan di Woodlands Avenue 9 juga meragut nyawa seorang penumpang di dalam bas berkenaan, Cik Sariah Bakri, 53 tahun.

Pemergiannya disifatkan sebagai nahas trafik yang malang dan tidak dapat dijangkakan.

Siasatan bersama koroner berhubung kematian mereka diadakan pada Khamis dengan kehadiran anak perempuan Cik Sariah di mahkamah.

RENTETAN NAHAS

Siasatan polis menunjukkan Encik Hadi sedang memandu ke tempat kerjanya di Tuas manakala Cik Sariah, seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan, sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Changi pada pagi itu.

Sekitar pukul 6.08 pagi, Encik Hadi sedang memandu di Woodlands Avenue 9. Keretanya pada mulanya berhenti di lampu isyarat merah di persimpangan antara Woodlands Avenue 9 dengan Woodlands Avenue 6.

Meskipun lampu isyarat masih menunjukkan warna merah, keretanya mula bergerak dan terus menghala ke arah Woodlands Avenue 4.

Kereta itu dipandu lebih laju sedang ia menghampiri persimpangan selanjutnya di Woodlands Avenue 4. Apabila ia menghampiri persimpangan itu, lelaki tersebut gagal menghentikan kereta itu di lampu isyarat merah dan terus meluru ke depan.

Kereta Encik Hadi kemudian merempuh ke bahagian kanan bas berkenaan, yang sedang menunggu untuk membelok ke kanan, ke arah Woodlands Avenue 9.

Lampu isyarat juga menunjukkan hijau, memihak kepada bas tersebut.

Bahagian depan kereta itu remuk teruk akibat rempuhan itu. Para penumpang pula terhumban ke lantai dan mula berdarah sambil terpekik-pekik, menurut pemandu bas itu.

Selepas memberi perhatian kepada sebilangan penumpang, pemandu bas itu ternampak Cik Sariah terbujur kaku di jalan raya, di sebelah kiri bas tersebut.

Beliau kemudian dibawa ke hospital, di mana beliau meninggal dunia pada lewat pagi itu.

Encik Hadi pula ditemui di tempat duduk pemandu dengan darah mengalir dari mulutnya. Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Punca kematian bagi kedua-dua mereka adalah akibat beberapa kecederaan.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan