Skip to main content

Singapura

Pemandu kereta sewa privet didenda S$650 kerana cuba dapatkan penumpang di perhentian teksi

Seorang pemandu kereta sewa privet didenda S$650 kerana berlegar-legar di sekitar perhentian teksi di HarbourFront Centre untuk mendapatkan penumpang meskipun tidak mempunyai sebarang tempahan perjalanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu kereta sewa privet didenda S$650 kerana cuba dapatkan penumpang di perhentian teksi

HarbourFront Centre di Singapura. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 03:40PM Dikemas Kini : 02 Sep 2026 03:42PM
SINGAPURA: Seorang pemandu kereta sewa privet didenda S$650 kerana berlegar-legar di sekitar perhentian teksi di HarbourFront Centre untuk mendapatkan penumpang meskipun tidak mempunyai sebarang tempahan perjalanan.

Kes itu diketahui Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) selepas seorang lelaki membuat aduan bahawa pemandu tersebut cuba mendapatkan penumpang dan menetapkan tambang premium S$65 berdasarkan aplikasi Grab.

Pemandu itu, Steven Gan Teck Guan, menafikan tuduhan berlegar-legar dengan tujuan mendapatkan penumpang, namun didapati bersalah.

Menurut penghakiman yang dikeluarkan pada Rabu (2 Sep), Gan memiliki lesen vokasional yang sah bagi kereta sewa privetnya ketika kesalahan itu dilakukan pada 31 Mac 2024.

Encik Ranjit Singh Manjit Singh memberi keterangan bahawa beliau baru pulang dari Batam, Indonesia, pada hari berkenaan dan sedang beratur di perhentian teksi di HarbourFront Centre.

Menurutnya, Gan cuba menarik perhatian orang ramai yang sedang beratur dan memberikan harga tambang apabila ditanya.

Encik Singh kemudian bertanya sama ada Gan seorang pemandu teksi. Gan memintanya melihat aplikasi Grab dan memberitahunya bahawa kadar premium yang tertera dalam aplikasi itu merupakan tambang yang dikenakannya.

Encik Singh melihat tambang sekitar S$65 sebelum bertanya kepada Gan sama ada beliau sedang cuba mendapatkan penumpang.

Selepas berlaku pertikaman lidah, Encik Singh mengambil gambar kenderaan Gan dan mengemukakan aduan menerusi portal LTA.

TIADA TEMPAHAN PERJALANAN

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan pihak pendakwaan menunjukkan Gan berada di kawasan tersebut selama lebih setengah jam antara 5.30 petang hingga 6.15 petang.

Sepanjang tempoh itu, beliau dilihat berulang kali berjalan di sekitar kawasan tempat menunggu teksi berhampiran mereka yang sedang beratur. Kenderaannya pula diletakkan di sebuah petak dengan butnya dibiarkan terbuka.

Pegawai penyiasat mengesahkan dengan Grab, Gojek, TADA dan Ryde Technologies bahawa Gan tidak mempunyai sebarang tempahan penumpang antara 5.00 petang hingga 6.30 petang pada hari tersebut.

Gan, yang tidak diwakili peguam, mendakwa beliau berada di situ untuk menunggu pelanggan peribadi dan bukan berlegar-legar untuk mendapatkan penumpang.

Beliau turut mendakwa perlu berjalan-jalan disebabkan masalah kesihatan dan kadangkala berdoa ketika berjalan.

Gan juga mendakwa LTA mereka-reka kes tersebut dan berpakat dengan Encik Singh untuk memerangkapnya.

MAHKAMAH TOLAK PENJELASAN GAN

Hakim Daerah Koh Jiaying mendapati keterangan Encik Singh boleh dipercayai meskipun terdapat percanggahan mengenai kadar tambang premium yang dipaparkan dalam aplikasi.

Encik Singh memberi keterangan bahawa tambang itu S$65, tetapi dalam aduannya kepada LTA, beliau menyatakan S$76. Beliau kemudian mengesahkan di mahkamah bahawa jumlahnya ialah S$65.

Hakim Koh menolak penjelasan Gan bahawa beliau sedang menunggu pelanggan peribadi kerana Gan tidak mempunyai bukti yang menunjukkan beliau mempunyai pelanggan yang akan tiba di lokasi tersebut pada hari berkenaan.

Mahkamah turut menolak dakwaan bahawa LTA mereka-reka tuduhan atau berpakat dengan Encik Singh kerana dakwaan tersebut tidak disokong sebarang bukti.

Pihak pendakwaan meminta denda S$700 dikenakan. LTA sebelum ini menawarkan denda kompaun S$500, manakala pihak pendakwaan berkata mereka akan meminta denda sekurang-kurangnya S$600 sekiranya Gan mengaku bersalah.

Hakim Koh akhirnya mengenakan denda S$650 setelah mengambil kira tindakan Gan serta keadaan yang menyebabkan Encik Singh berasa situasi itu mungkin menjadi lebih buruk.

Gan kini dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan. Pembayaran denda turut ditangguhkan sehingga rayuan didengar.

Pesalah kali pertama yang mendapatkan atau berlegar-legar dengan tujuan mendapatkan penumpang boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$1,000, atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh dikenakan hukuman denda dan penjara sehingga dua kali ganda.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita