Pemandu Grab dipenjara seminggu gara-gara cabul penumpang wanita
Selepas menjemput seorang penumpang wanita yang menempah khidmat berkongsi kenderaan menaiki keretanya, Hashim Othman, mencabul wanita itu dengan menyentuh bahagian kakinya.

Gambar fail. (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Selepas menjemput seorang penumpang wanita yang menempah khidmat berkongsi kenderaan menaiki keretanya, Hashim Othman, mencabul wanita itu dengan menyentuh bahagian kakinya.
Pemandu Grab berusia 59 tahun itu dijatuhi hukuman penjara seminggu hari ini (12 Mac) setelah mengaku bersalah atas satu tuduhan mencabul kehormatan mangsa yang berusia 38 tahun.
Hashim, menjemput penumpang wanita berkenaan pada 10 September 2018 sekitar pukul 10.00 malam.
Mahkamah diberitahu wanita itu menempah khidmat GrabShare dari Parkland Green di East Coast Park untuk ke sebuah blok HDB di Tampines Street 81.
Wanita itu duduk di bahagian kiri sebelah belakang kereta tersebut dan merupakan satu-satunya penumpang.
Semasa memandu di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) menghala ke Lapangan Terbang Changi, Hashim mencapai buku lali wanita itu menggunakan tangan kirinya dan menyentuhnya.
Dia kemudian menoleh ke belakang dan merenung ke arah kaki wanita itu sebelum meletakkan tangannya di antara kedua-dua buku lali wanita itu dan menggunakan tapak tangannya untuk mengusap bahagian kanan betis wanita itu beberapa kali dari buku lali ke lutut.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Eugene Teh memberitahu mahkamah bahawa ketika itu wanita tersebut memakai "seluar pendek hingga ke paras tengah paha".
Terkejut dengan perbuatan Hashim, wanita itu bertanya apa yang sedang dilakukannya. Hashim melepaskan kaki wanita itu dan meminta maaf.
DPP Teh memohon agar Hashim ditahan dalam tempoh yang singkat, sambil berkata Hashim melakukan kesalahan dalam kenderaan sewa privet dan menyentuh kulit wanita itu.
Dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya. Pesalah yang disabit kesalahan mencabul kehormatan juga boleh dikenakan sebatan rotan. Namun menurut undang-undang, mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas tidak boleh dirotan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.