Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu Grab dijel; ambil penumpang semasa cuti sakit, enggan diuji COVID-19

Rahim Mahon meninggalkan klinik tanpa sijil cuti sakitnya dan tetap mengambil 5 penumpang keesokan hari.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang pemandu Grab yang pergi berjumpa doktor dengan gejala pernafasan akut disuruh menjalani ujian swab dan rehat di rumah atas sebab cuti sakit. Namun, lelaki itu enggan mengambil ujian tersebut dan sebaliknya, tetap mengambil pelanggan.

Rahim Mahon, 63 tahun, dihukum penjara lima minggu pada Selasa (11 Jan). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit kerana mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan. Satu lagi tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Tidak diketahui sama ada dia dijangkiti COVID-19 kerana Rahim tidak mengambil ujian swab.

Mahkamah diberitahu bahawa Rahim telah pergi ke Poliklinik Chua Chu Kang pada pagi 15 Januari 2021 untuk satu pemeriksaan susulan bagi jangkitan saluran kencing.

Apabila ditanya doktor jika dia mengalami sebarang gejala lain, Rahim memberitahunya dia batuk-batuk sejak dua hari lalu. Doktor tersebut mendiagnosis Rahim dengan jangkitan saluran nafas atas serta demam tahap rendah dan gejala berkenaan jangkitan saluran kencing.

Doktor kemudian memberitahunya dia perlu mengambil ujian swab COVID-19 kerana gejala yang dialaminya. Dia juga diberi cuti sakit tiga hari di mana dia tidak boleh meninggalkan rumah.

Doktor menyuruhnya mengambil sijil cuti sakit dan juga ubat, serta melakukan ujian air kencing sebelum beredar dari situ.

Rahim menyerahkan sampel air kencingnya untuk diuji dan menuju ke bilik di mana dia sepatutnya menjalani ujian swab, namun, dia enggan berbuat demikian.

Rahim juga terus berdegil enggan menjalani ujian swab tersebut, meski dinasihati doktor yang kemudian memberinya cuti sakit lima hari bagi tempoh 15 Jan hingga 19 Jan 2021.

Doktor juga mengingatkan Rahim bahawa di bawah undang-undang, dia harus tinggal di rumah dan jika melanggar peraturan dan memandu kereta Grab, dia boleh didakwa di mahkamah.

Rahim meninggalkan poliklinik itu tanpa menunggu keputusan ujian air kencingnya ataupun mengambil sijil cuti sakit.

Pekerja klinik cuba menghubungi berkali-kali, namun, dia meletakkan telefon setiap kali.

Rahim meninggalkan rumahnya antara 8.45 pagi hingga 2.00 petang pada keesokan hari untuk mengambil penumpang Grab - kesemuanya lima penumpang dari Senja Link ke Handy Road, Senja Road ke Kaki Bukit, Bedok Reservoir Road ke Cleantech Loop, Jalan Bahar ke Orchid Club Road dan Yishun Street ke Dempsy Road.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara lima hingga enam minggu, dengan mengatakan terdapat risiko tinggi jangkitan berlaku dalam kes tersebut. Rahim "secara terang-terangan mengalami gejala COVID-19", namun, memilih untuk tidak mengambil ujian COVID-19.

Atas kesalahan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan, Rahim boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/NY/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan