Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu Grab didenda beroperasi sebagai teksi, ambil penumpang dari tepi jalan

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu Grab didenda beroperasi sebagai teksi, ambil penumpang dari tepi jalan

Gambar fail seorang pemandu Grab. (Gambar: TODAY)

SINGAPURA: Meskipun hanya mempunyai lesen bagi memandu kereta sewa privet, dan bukan untuk memandu teksi, seorang wanita mengambil dua penumpang yang menahan kenderaannya.

Kenderaan yang dipandu malangnya terlibat dalam satu kemalangan dan kes itu dibicarakan di mahkamah.

Atas kesalahan memandu kereta sewa privet tanpa lesen sah untuk digunakan sebagai teksi, dan menggunakan kenderaan tersebut untuk mendapat keuntungan atau ganjaran yang hanya boleh diperolehi pemandu teksi, pesalah didenda S$2,300 dan lesen memandunya pula digantung selama 12 bulan.

Mentelah lagi, semua kesalahan itu dilakukan tanpa insurans yang berkaitan.

Menurut keputusan yang dikeluarkan pada Rabu (7 Jun), Nandha Sharm Nair memandu kereta sewa privetnya pada lewat 27 Jan 2022.

Dua lelaki cuba menahan teksi di sekitar MacPherson Road, dan Nair, 45 tahun, berhenti di hadapan mereka.

Dia bersetuju untuk memandu mereka ke Beatty Lane, yang memakan masa kira-kira 15 minit, meskipun kedua-dua mereka tidak membuat tempahan.

Apabila mereka tiba di Beatty Lane, salah seorang penumpang menghulurkan wang kertas $50 kepada Nair lalu meminta wang bakinya. Selepas berunding, Nair mengambil S$25 daripada penumpang tersebut.

Ketika Nair sedang membuat rundingan harga, seorang lagi penumpang itu turun dari kenderaan Nair lalu mengambil keretanya sendiri. Kereta yang dipandu terlanggar pula kereta Nair secara tidak sengaja.

Nair mendakwa dua penumpangnya mungkin dalam keadaan mabuk tetapi tuduhannya ternyata tidak benar.

Menurut Akta Lalu Lintas Jalan Raya, sesebuah kenderaan tidak boleh digunakan sebagai kenderaan perkhidmatan awam kecuali pemandu mempunyai lesen untuk berbuat demikian.

Nair menjelaskan kepada mahkamah bahawa dia pada awalnya menerima tempahan di tempat di mana dua lelaki berkenaan berdiri. Tempahan itu bagaimanapun dibatalkan.

Maka Nair mempelawa untuk membawa mereka ke destinasi yang ingin dituju "benar-benar atas belas kasihan", memandangkan mereka berkata sudah menunggu selama hampir sejam.

Hakim bersetuju dengan pendakwa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bahawa Nair bukan seorang saksi yang boleh dipercayai. Bukti yang dikemukakannya "hanya untuk membela diri" dan dia jelas mencari cara untuk mengelak sebarang hukuman atas kesalahan yang dilakukan.

"Dia jelas mengambil (dua lelaki itu) sebagai ganti bagi tempahan yang dibatalkan," kata Hakim Soh.

Di samping itu, tambahnya, Nair jelas mengambil penumpang yang tidak membuat tempahan sedangkan dia tidak mempunyai lesen memandu teksi.

"Cara teksi dikawal selia berbeza daripada kereta-kereta sewa privet dan ia tertakluk kepada piawai lebih ketat. Misalnya, teksi-teksi perlu melalui lebih banyak pemeriksaan dan pemandu teksi menjalani lebih banyak latihan," kata hakim lagi.

"Atas sebab itu, kereta sewa privet tidak boleh ambil penumpang dari tepi jalan, sebagaimana yang boleh dilakukan teksi. Ia demi menjaga keselamatan pemandu dan juga penumpang."
 
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan