Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu Grab alu-alukan langkah kurangkan tempoh tunggu penumpang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemandu Grab menyambut baik langkah platform khidmat kereta sewa privet itu untuk mengenakan denda ke atas penumpang yang lambat lebih tiga minit, dengan sesetengah mereka yang ditemui Mediacorp berkata langkah itu "adil". 

Langkah itu berkuat kuasa pada Isnin (18 Jul). 

Buat masa ini, penumpang hanya perlu membayar denda jika mereka lewat lebih lima minit. 

Secara automatik, pengguna akan dikenakan caj menunggu S$3 bagi setiap lima minit pemandu perlu menunggu, sekiranya mereka membuat pemandu tunggu lebih daripada tiga minit.

Penumpang harus membayar S$4 jika membatalkan tempahan lebih tiga minit selepas mereka mendapat seorang pemandu. 

Perubahan ini akan menjejas semua khidmat, kecuali tempahan GrabExec, GrabExec6, GrabAssist dan GrabAssist Plus. 

David Lee, seorang pemandu berusia 38 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa beliau berasa gembira Grab akan membuat perubahan tersebut. 

"Meskipun saya tidak tahu sama ada langkah ini akan mendidik penumpang untuk bersiap sedia sebelum membuat tempahan, saya benar-benar harap ia begitu," katanya. 

Seorang lagi pemandu, Michael (bukan nama sebenarnya), yang berkhidmat sebagai pemandu Grab sejak 2015, menarik perhatian bahawa sistem Grab ini "adil". 

"Jika penumpang tidak mahu dikenakan denda itu, maka pastikan mereka tiba tepat pada masanya...Kami hanya ingin mengambil penumpang dan bergerak ke penumpang yang seterusnya. Kami tidak mahu duduk dan tidak berbuat apa-apa," kata pemandu yang berusia 53 tahun itu. 

"CUKUP" MASA BAGI PENUMPANG 

Para pemandu memberitahu Mediacorp bahawa tempoh menunggu selama lima minit "terlalu lama". 

"Untuk sesetengah tempahan di bandar, tiada tempat menunggu. Apabila kami ke sana dan terdapat pegawai trafik, kami harus membuat pusingan (jika penumpang masih belum di sana lagi)," kata Encik Michael. 

"Setiap pusingan tambahan menggunakan minyak dan setelah berpusing-pusing ke lokasi, kami tidak tahu sama ada penumpang itu sudah tiba ataupun tidak." 

Meskipun sebilangan besar penumpang Michael "menghormati dan boleh menguruskan masa", ada sesetengah daripada mereka yang "membuat pemandu menunggu atas pelbagai sebab," kongsinya. 

"Sebelum kami tiba di lokasi, terdapat mesej yang dikirimkan kepada penumpang bahawa pemandu itu akan tiba dalam X minit. Jadi terdapat banyak peringatan." 

Darren Hui, 52 tahun, yang merupakan pemandu Grab sekitar tujuh tahun, berkongsi pandangan yang sama: "Ada penumpang yang berkata mereka memerlukan masa. Tetapi jika anda lihat, Grab memberi kami enam hingga 10 minit untuk tiba di lokasi tersebut. Bukankah itu cukup untuk mereka bersiap?"

SEBILANGAN PENUMPANG "SALAH GUNA" TEMPOH MENUNGGU 

Sebilangan penumpang juga menyalahgunakan tempoh menunggu tersebut, kata Encik Hui. 

Mereka akan bertanya, mengapa beliau tidak boleh menunggu mereka selepas lima minit. Oleh itu, beliau berasa semakan itu "adil". 

"Kita semua pernah menaiki bas sekolah. Adakah bas sekolah itu menunggu saya dan awak? Tidak, awak harus tunggu di bawah untuk bas sekolah itu datang," katanya. 

Encik Lee yang memandu sekitar 12 hingga 15 jam setiap hari selama enam hari seminggu, berkongsi bahawa "ia sesuatu yang biasa untuk penumpang membuat tempahan sambil berada di rumah atau di pejabat, dan bergantung pada lima minit itu." 

"Memandangkan sistem denda itu dikenakan secara automatik dari masa ketibaan kami, ramai penumpang hanya akan tiba sekitar 4.30 hingga 4.55 minit. Sebilangan besarnya tidak rasa bersalah pun," katanya. 

"Anda boleh kira masa yang para pemandu rugi jika kami mengambil 10 penumpang sebegitu setiap hari." 

Grab memberitahu Mediacorp pada Selasa (12 Jul) bahawa keputusan untuk mengurangkan tempoh menunggu itu dilakukan setelah "penilaian teliti". 

Grab turut berkongsi bahawa tempoh menunggu yang dikemas kini ini akan membantu mengurangkan pembaziran minyak disebabkan oleh enjin yang tidak digunakan, yang sudah menjadi isu bagi pemandunya di tengah-tengah kenaikan harga minyak. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan