Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu Ferrari mengaku bersalah terhadap 3 tuduhan, termasuk memandu dalam keadaan mabuk

Pemandu Ferrari Shi Ka Yee yang mengaku bersalah kerana menghalang laluan jalan Orchard Road dengan keretanya dua tahun lalu, mengakui hari ini (14 Ogos) dia memandu dalam keadaan mabuk. Shi turut mengaku bersalah atas dua lagi tuduhan berasingan ke atasnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu Ferrari mengaku bersalah terhadap 3 tuduhan, termasuk memandu dalam keadaan mabuk

Shi Ka Yee meninggalkan Mahkamah Negara pada 14 Ogos 2018. (Gambar: Lydia Lam)

Diterbitkan : 14 Aug 2018 04:48PM Dikemas Kini : 14 Aug 2018 06:21PM

SINGAPURA: Pemandu Ferrari Shi Ka Yee yang mengaku bersalah kerana menghalang laluan jalan Orchard Road dengan keretanya dua tahun lalu, mengakui hari ini (14 Ogos) dia memandu dalam keadaan mabuk. Shi turut mengaku bersalah atas dua lagi tuduhan berasingan ke atasnya. 

Insiden memandu dalam keadaan mabuk itu berlaku pada 31 Januari 2017.

Dua pegawai polis dikerahkan ke Hotel Grand Hyatt di Scotts Road selepas menerima aduan. Mereka melihat Shi, 73 tahun, dalam keadaan mabuk.

Shi berjalan terhuyung-hayang dan tidak dapat bertutur dengan betul, menurut dokumen mahkamah. Salah seorang pegawai menasihati Shi supaya jangan memandu dan mengambil teksi, tetapi Shi berkeras mahu memandu.

Meski dinasihati berkali-kali oleh para pegawai supaya tidak memandu, Shi bergegas ke kenderaannya dan memandu keluar daripada lorong tersebut sebelum ditahan oleh seorang pegawai polis.

Pegawai berkenaan melakukan ujian nafas ke atasnya, tetapi dia enggan bekerjasama selama hampir 20 minit.

Akhirnya, pegawai berkenaan memberkasnya kerana gagal bekerjasama dan membawanya ke Balai Polis Tanglin, di mana ujian darah menunjukkan sampel darahnya mengandungi 103 miligram alkohol bagi setiap 100 milimeter darah, lebih daripada had 80 miligram alkohol bagi setiap 100 milimeter darah.

Siasatan mendapati bahawa Shi meminum wain semasa makan malam di Grand Hyatt, sebelum ke kelab malam di tingkat bawah tanah hotel dan meminum lagi dua gelas minuman keras.

DUA LAGI DAKWAAN

Dua dakwaan berasingan, dari 2015, melibatkan tindakannya yang mengurung seorang lelaki dalam sebuah kren dan melakukan tindakan terburu-buru dengan memandu kenderaannya sehingga hampir melanggar jirannya.

Pada 17 Februari 2015, lima pekerja yang digajikan jiran Shi, Encik Hasrat Muzayyin, tiba di 13 Astrid Hill dengan sebuah lori kren untuk mencantas dahan-dahan atau ranting pokok Shi.

Dahan-dahan pokok yang tumbuh di pekarangan kediaman Shi tumbuh masuk ke kawasan rumah Encik Nasrat, dan beliau sudah cuba bertanya jika dahan-dahan tersebut boleh dipotong sejak Oktober 2014.

Salah seorang pekerja, warga India berusia 35 tahun, Encik Ankathi Thirupathi, ditugaskan untuk berdiri dalam bakul kren tersebut dan mencantas dahan-dahan yang tumbuh masuk ke dalam kawasan Encik Nasrat, dengan menggunakan gergaji rantai. Seorang lagi pekerja mengawal kren tersebut, sementara pekerja-pekerja yang lain membersihkan dahan-dahan yang gugur.

Pada sekitar 9.30 pagi, Shi tiba dengan menaiki keretanya lalu masuk ke rumah jiran dan bersemuka dengan jirannya sambil melemparkan kata-kata kesat.

Beliau berkata: "Anda potong pokok saya, pokok saya sesuatu yang bernyawa, saya harap anak-anak anda akan mati."

Shi kemudian ke lori berkenaan, mematikan enjin kren itu dan mencabut kunci ketika Encik Ankathi masih lagi dalam bakul kren tersebut.

Encik Ankathi terperangkap dalam bakul itu selama sejam sebelum diselamatkan oleh para pegawai daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura.

PANDU KERETA SEHINGGA HAMPIR LANGGAR JIRAN

Pekerja-pekerja lain kemudian memberitahu Encik Nasrat tentang apa yang berlaku, dan beliau ke rumah Shi untuk bicara empat mata dengannya dan mendapatkan semula kunci kren tersebut. Encik Nasrat berkara beliau memerlukan kunci itu supaya Encik Ankathi dapat turun daripada kren tersebut. Beliau akan menelefon polis sekiranya Shi enggan bekerjasama.

Shi enggan bertolak ansur dan terus melemparkan kata-kata kesat terhadap Encik Nasrat, dan mencabarnya untuk menelefon polis.

Dia kemudian memandu kenderaannya dengan tingkap di tempat pemandu separuh terbuka. Jirannya berdiri di depan kenderaan untuk menghalangnya daripada meninggalkan tempat itu, dan cuba mendapatkan kunci daripadanya.

Encik Nasrat memberitahunya supaya menunggu ketibaan polis, tetapi Shi tetap berdegil dan terus memandu sehingga kenderaannya menyentuh Encik Nasrat.

Encik Nasrat akhirnya beralih atas sebab keselamatan dan Shi meninggalkan rumahnya. Shi sempat memberitahu jirannya bahawa dia akan melancong ke Hong Kong.

Peguam bela Shi merayu supaya hukumannya diringankan dan perbicaraan ditangguhkan sehingga Jumaat ini (17 Jul) di mana Shi akan merayu terhadap sabitannya itu dan hukuman bagi kesalahan mencederakan pemandu lain.

Shi akan dihadapkan ke mahkamah atas tiga tuduhan ini pada akhir bulan ini.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan