Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu dituduh ambil gambar, video di Pusat Pemeriksaan Woodlands bakal mengaku bersalah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang pemandu, yang dituduh mengambil gambar dan video seorang pegawai imigresen di Pusat Pemeriksaan Woodlands, mengatakan bahawa dia mahu mengaku bersalah.

Dia tidak menyedari bahawa kesalahan yang dilakukannya itu "begitu serius".

Wong Jeo Wah, 37 tahun, dihadapkan semula ke Mahkamah Negara pada Isnin (26 Ogos), lebih seminggu selepas dia pertama kali didakwa di bawah Akta Perlindungan Infrastuktur.

Lelaki warga Singapura itu berdepan dengan satu tuduhan mengambil gambar dan video tanpa izin di kaunter laluan pelepasan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada kira-kira 12.30 malam pada 12 Ogos lalu.

Ia merupakan satu kesalahan untuk mengambil gambar dan video dalam pekarangan premis pusat pemeriksaan - yang dianggap kawasan terlindung - tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Semasa perbicaraan pada Isnin, pihak pendakwa memohon agar kes ditangguh selama empat minggu untuk melengkapkan siasatan itu dan mendapatkan arahan timbalan pendakwa raya, dengan kemungkinan tuduhan tambahan akan dikenakan.

Sebahagian daripada siasatan tersebut akan merangkumi pemeriksaan digital forensik ke atas telefon Wong.

Kes Wong akan dibicarakan di mahkamah pada 23 September nanti. Dia diberi ikat jamin sebanyak S$10,000.

Sehari selepas insiden tersebut berlaku di Pusat Pemeriksaan Woodlands, beberapa gambar dan video yang menunjukkan seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), beserta namanya, dimuat naik di kumpulan Facebook 'Complaint Singapore'. Catatan tersebut mendakwa pegawai terbabit bersikap biadab.

Dalam satu catatan Facebook pada 15 Ogos, ICA menyatakan pemandu terbabit telah "membuat kenyataan yang tidak wajar" sejurus selepas pegawai itu mengarahkannya untuk menanggalkan pelindung matahari dari tingkap penumpang kanan tersebut semasa melakukan pelepasan imigresen.

Pemandu terbabit dirujuk ke pejabat petugas itu dan diberi amaran keras selepas dia mengaku mengambil gambar dan video di premis pusat pemeriksaan tersebut, jelas ICA. Dia telah bersetuju untuk memadamkannya.

Namun, memandangkan video dan gambar tersebut dimuat naik ke platform online, ICA merujuk kes tersebut ke pihak polis.

Jika sabit kesalahan, Wong boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$20,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan