Pemandu ditahan langgar pegawai polis ketika undur kereta; penumpang turut diberkas
Seorang pemandu dan penumpangnya ditahan pada Khamis (28 Okt) setelah sebuah kereta dilihat mengundur lalu melanggar seorang pegawai Polis Trafik, menyebabkannya terjatuh dari motosikalnya.

SINGAPURA: Seorang pemandu dan penumpangnya ditahan pada Khamis (28 Okt) setelah sebuah kereta dilihat mengundur lalu melanggar seorang pegawai Polis Trafik, menyebabkannya terjatuh dari motosikalnya.
Menurut polis, para pegawai Polis Trafik sedang menjalankan rondaan di Upper Paya Lebar Road sekitar pukul 9.50 pagi tadi apabila pemandu berkenaan memecut laju walaupun setelah diarahkan supaya berhenti untuk diperiksa.
"Para pegawai mengejar kenderaan itu dan aksi kejar-mengejar itu berhenti apabila seorang pegawai polis trafik menerpa ke hadapan dan berjaya memberhentikan kenderaan tersebut.
"Kenderaan itu bagaimanapun tiba-tiba berundur dan melanggar seorang pegawai polis trafik yang berada di belakang kereta itu sebelum memecut dari tempat kejadian," menurut polis semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.
Dalam rakaman video yang tular di media sosial, seorang pegawai polis trafik yang sedang menunggang motosikal dilihat menghampiri sebuah kereta - yang sedang berhenti - dengan seorang lagi pegawai kelihatan menyusul di belakangnya.
Kereta itu berundur lalu melanggar pegawai kedua itu sehingga beliau terjatuh di atas jalan raya.
Kenderaan itu cuba membuat pusingan U sedang pegawai pertama cuba mengejarnya.
Penumpang kereta itu, seorang lelaki berusia 34 tahun, ditahan dan diberkas kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang pegawai awam dan atas kesalahan disyaki berkaitan dadah, menurut polis.
Pemandu kereta berusia 37 tahun yang cuba melarikan diri berjaya diberkas.
Pegawai tersebut mengalami cedera ringan dan tidak perlu dibawa ke hospital, menurut polis, sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.