Skip to main content

Singapura

Pemandu dipenjara sebabkan kematian pegawai polis dalam nahas Shenton Way

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu dipenjara sebabkan kematian pegawai polis dalam nahas Shenton Way

Gambar: Facebook, TODAY/Nuria Ling

SINGAPURA: Pemandu yang melanggar seorang pegawai polis yang tidak bertugas semasa beliau sedang menyeberang jalan raya, lalu menyebabkan kematiannya, dijatuhi hukuman penjara 10 minggu dan dilarang memandu selama lima tahun pada Selasa (4 Jul).

Andrew Charles Vasko, 55, seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang juga Penduduk Tetap Singapura, menolak tuduhan menyebabkan kematian akibat kelakuan cuai yang tidak membawa kepada pembunuhan dengan niat, namun sabit kesalahan pada akhir perbicaraan.

Ini adalah kerana dia gagal memantau dengan rapi apabila membelok ke kanan semasa memandu kereta Aston Martin miliknya di persimpangan Shenton Way pada 10 Feb 2019.

Mangsa, Cik Salinah Mohamed, meninggal dunia empat hari kemudian akibat kecederaan di kepala. Beliau berusia 40 tahun ketika itu dan meninggalkan seorang suami serta tiga anak kecil.

Hakim Daerah Shawn Ho berkata Encik Vasko tidak melihat ke arah lintasan pejalan kaki semasa membelok ke kanan dan mendapati kesalahannya sederhana.

Encik Vasko bercadang untuk membuat rayuan.

Beliau meminum dua gelas wain putih pada malam kejadian di Sentosa, tetapi lulus ujian pernafasan. Beliau juga didapati tidak memecut.

Peguam bela Remy Choo Zheng Xi dan Carol Yuen dari Remy Choo Chambers memberi hujah bahawa tumpuan anak guam mereka terganggu oleh penunggang motosikal yang memotong di sebelah kanannya.

Mereka juga berkata pencahayaan dan kontras tidak mencukupi di tempat kejadian, tetapi Hakim Daerah Shawn Ho menolak hujah tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Stacey Fernandez meminta penjara empat hingga enam bulan, dengan larangan memandu selama lima tahun.

Beliau berkata Encik Vasko "tidak menyedari" mangsa sedang melintas dengan lampu memihak kepada mangsa, dan keadaannya yang "benar-benar tidak sedar" jelas dilihat dalam rakaman yang menunjukkan mangsa menjerit ke arah keretanya sejurus sebelum nahas itu.

MITIGASI

Encik Choo meminta denda S$8,000 dan larangan memandu selama empat tahun.

Dalam rayuan untuk mengurangkan hukumannya, Encik Choo berkata Encik Vasko mempunyai keluarga dengan isterinya, seorang rakyat Singapura, dan merupakan ahli yang dihormati dalam kalangan masyarakat perniagaan.

Beliau juga mempunyai rekod memandu yang baik, kata peguam itu, dengan hanya satu kesalahan memecut pada 2014, di mana dendanya sudah dibayar.

Encik Choo mengulangi hujahnya bahawa Encik Vasko terganggu oleh bunyi kuat motosikal di sebelah kanannya, tetapi pendakwa raya membalas bahawa penunggang motosikal itu sendiri sudah memberi keterangan bahawa tiada bunyi seumpama itu. Bunyi sedemikian juga tidak kedengaran dalam rakaman video.

Encik Choo berkata Encik Vasko segera membantu pejalan kaki tersebut
selepas kejadian itu, dan meminta orang yang berada di sekitar untuk membuat bulatan supaya pemandu lain mengelaknya.

Dalam satu kenyataan kepada polis, Encik Vasko berkata beliau "sangat trauma" selepas mengetahui mangsa cedera parah dan berkata beliau tidak berniat untuk mencederakan sesiapa.

Apabila beliau menyedari bahawa mangsa meninggal dunia, Encik Vasko berkata beliau sangat menyesali kemalangan itu dan merasakan kesedihan mendalam terhadap keluarganya.

Atas kesalahan menyebabkan kematian akibat kelakuan cuai yang tidak membawa kepada pembunuhan dengan niat kerana gagal untuk mengawasi persekitaran semasa membelok ke kanan, Encik Vasko boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya.
Sumber : CNA/AT/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita