Pemandu dipenjara; pandu laju langgar 4 kenderaan di CTE, 1 penunggang motosikal maut
Gambar: SCDF/Facebook
SINGAPURA: Seorang wanita sedang memandu melebihi had laju di Ekspreswe Central (CTE) apabila dia hilang kawalan kenderaannya dan berlanggar dengan pagar penghadang sebelum bertembung dengan dua motosikal, sebuah lori dan sebuah kereta.
Ini menyebabkan kedua-dua penunggang motosikal tercampak ke jalan raya dan mengakibatkan salah seorang daripadanya, seorang lelaki berusia 31 tahun, mengalami kecederaan yang membawa maut. Dua lelaki yang duduk di belakang lori yang terlibat juga tercampak ke jalan raya tersebut.
Pemandu Mazda3, Ng Wen Xun, dijatuhi hukuman penjara 30 bulan dan dilarang memandu selama 10 tahun pada Isnin (29 Mei).
Ng mengaku bersalah atas satu tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kesakitan teruk. Dua lagi tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Ng, 35 tahun, sedang memandu keretanya di lorong pertama CTE menghala Ekspreswe Seletar sekitar pukul 9.15 malam pada 23 Julai 2021.
Dia sedang memandu pada kelajuan sekurang-kurangnya 118 kmj, iaitu melebihi had laju 80 kmj.
Ng gagal untuk mengekalkan kawalan kenderaannya dan lantas, merempuh pagar penghadang di tengah, sebelum bertukar haluan ke kiri.
Dia bertembung dengan motosikal mangsa sebelum menghala ke kanan lalu berlanggar dengan motosikal lain, sebuah lori yang membawa penumpang dan sebuah kereta.
Kenderaan tersebut terhenti hanya selepas ia merempuh pagar di sebelah kiri CTE. Kereta tersebut kemudiannya terbakar.
AKIBAT NAHAS BERKENAAN
Kesan daripada pelbagai pertembungan itu menyebabkan kedua-dua motosikal berkenaan terbabas dan menyebabkan penunggang-penunggang motosikal tersebut tercampak ke jalan raya.
Lori berkenaan terbabas ke sebelah kanan, sekali gus menyebabkan dua daripada penumpang di belakangnya tercampak ke jalan raya.
Hampir semua yang terbabit dalam kemalangan tersebut dikejarkan ke hospital. Ini termasuk: Penunggang motosikal berusia 31 tahun yang meninggal dunia di hospital akibat beberapa kecederaan yang dialami, seorang lagi penunggang motosikal yang berusia 25 tahun dan tiga penumpang lori terlibat yang berusia 26, 31 dan 50 tahun. Pemandu kereta yang berusia 65 tahun tidak dibawa ke hospital.
Mangsa-mangsa mengalami kecederaan, antaranya patah tulang pergelangan tangan dan tulang belakang hingga lebam.
Hakim tersebut membenarkan Ng menjalani hukuman penjara bermula 12 Jun.
Bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, pesalah boleh dipenjara antara dua dengan lapan tahun dan dilarang memandu selama 10 tahun.
Hukuman bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan teruk adalah hukuman penjara antara setahun dan lima tahun, serta dilarang memandu selama lapan tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.