Pemandu dipenjara 6 minggu selepas tolak pegawai keselamatan di United Square hingga pergelangan tangannya retak
Wang Lin dilihat di Mahkamah Negara pada 27 April 2022. (Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)
SINGAPURA: Seorang pemandu yang menolak seorang pegawai keselamatan, yang sedang mengarahkan trafik di Pusat Membeli-belah United Square, dipenjara enam minggu pada Isnin (28 Ogos).
Tindakannya itu menyebabkan pegawai keselamatan tersebut terjatuh ke belakang dan pergelangan tangannya mengalami keretakan.
Wang Lin, seorang penduduk tetap Singapura dari China berusia 42 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja terhadap Encik Prakash Govindan Damodaran.
Mahkamah diberitahu Wang sedang berada di dalam kereta BMW X5 pada 6 November 2021 dan sedang memandu ke arah tempat menurunkan penumpang teksi di luar Pusat Membeli-belah United Square.
Mangsa berusia 56 tahun itu sedang berdiri di laluan 'chevron' sambil mengarahkan trafik apabila dia memberi isyarat untuk Wang berhenti. Dia memberitahu Wang bahawa dia tidak dibenarkan untuk memasuki laluan tersebut yang dikhususkan untuk teksi sahaja. Dia menyarankan supaya Wang memandu ke pusat membeli-belah tersebut - yang memberikan masa pengecualian caj meletak kereta secara percuma selama 30 minit.
Wang berasa kurang senang terhadap pegawai keselamatan itu lalu dekat dengan mangsa sebelum menghentikan keretanya. Dia kemudian keluar dari keretanya untuk bersemuka dengan pegawai keselamatan tersebut.
Dia menolak mangsa dengan kedua-dua tangannya, hingga menyebabkan mangsa terjatuh ke belakang.
Isteri Wang yang sedang menunggu bersama anaknya untuk dijemput oleh Wang, segera menarik Wang sebelum mereka meninggalkan tempat tersebut.
Insiden berkenaan dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dipaparkan dalam mahkamah.
Mangsa membuat aduan polis pada hari yang sama. Beliau mendapatkan rawatan perubatan beberapa kali sebelum disahkan bahawa pergelangan tangannya retak selain kecederaan ligamen di ibu jarinya.
Mangsa juga perlu menjalani terapi.
Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan secara sengaja, Wang boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga $5,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.