Pemandu dinasihat elak jalan raya sekitar Hotel Shangri-La dari 10-12 Jun

Hoterl Shangri-La di Orange Grove Road pada 15 Jan 2021. (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengelakkan jalan raya sekitar Hotel Shangri-La dari 10 hingga 12 Jun apabila Dialog Shangri-La diadakan.
Demikian menurut polis pada Isnin (6 Jun).
Sidang puncak keselamatan peringkat tinggi itu akan diadakan setelah dua tahun dibatalkan akibat pandemik COVID-19.
Acara itu menghimpunkan menteri pemerintah, pegawai kanan, pemimpin perniagaan serta pakar keselamatan dari merata dunia untuk membincangkan cabaran keselamatan yang semakin genting di Asia.
Perdana Menteri Jepun Kishida Fumio akan menyampaikan ucaptama pada 10 Jun, menurut Institut Antarabangsa bagi Pengajian Strategik (IISS).
Menteri Pertahanan China Wei Fenghe pula dijadualkan berucap pada 12 Jun.
Dalam satu kenyataan media pada Isnin (6 Jun), polis berkata, mereka akan menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas kenderaan di dan sekitar Hotel Shangri-La.
"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan polis di stesen pemeriksaan tersebut dan sebarang pelanggaran peraturan akan ditangani dengan tegas mengikut undang-undang," tambah mereka.
Pengguna jalan raya dinasihatkan agar mengelakkan jalan raya di sekitar kawasan tersebut, khususnya Anderson Road dan Orange Grove Road, untuk mengelak sebarang kelengahan.
Polis juga menasihatkan pengguna jalan raya untuk menggunakan Scotts Road sekiranya mereka sedang menuju ke:
Stevens Road dari Tanglin Road
Orchard Road dari Stevens Road,
Balmoral Road
Pengguna jalan raya juga harus menggunakan Draycott Park atau Draycott Drive jika mereka ingin ke Ardmore Park.
Kenderaan juga tidak dibenarkan antara tiang lampu lapan Ardmore Park hingga Anderson Road, mulai 11.00 malam pada 9 Jun hingga 5.00 petang pada 12 Jun, menurut polis.
Pengunjung ke Hotel Shangri-La dinasihatkan mengongsi kereta atau menggunakan pengangkutan awam, kerana tempat letak kereta di pekarangan hotel terhad, tambah polis.
"Kenderaan yang diletak secara haram atau menghalang laluan trafik akan ditarik," menurut polis.
Sepanjang tempoh itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang kegiatan udara di kawasan tersebut, termasuk mengendalikan dron, main layang-layang dan melepaskan belon.
"Kami memohon kerjasama orang ramai agar mematuhi aturan trafik dan keselamatan," kata polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.