Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu didenda $5,000; 2 ular sawa batik ditakai bagi cegah penyakit kronik

Seorang pemandu didenda S$5,000 pada Rabu (1 Jun) kerana menyeludup dua ular sawa batik ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu didenda $5,000; 2 ular sawa batik ditakai bagi cegah penyakit kronik

Salah satu ular sawa batik yang dirampas oleh para pegawai ICA. (Gambar-gambar: ICA and NParks)

SINGAPURA: Seorang pemandu didenda S$5,000 pada Rabu (1 Jun) kerana menyeludup dua ular sawa batik ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas.

Kedua-dua ular sawa itu ditakai selepas ia ditemui dalam keadaan kesihatan yang teruk, kronik dan tidak dapat dipulihkan.

Pulenthiran Palaniappan, 51 tahun,dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan mengimport tanpa permit spesies haiwan yang dilindungi.

Dua lagi tuduhan kerana gagal mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kedua-dua ular sawa itu dibawa ke tempat lain dengan cara selamat turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Kedua-dua reptilia itu dirampas pada 7 April oleh para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang memeriksa sebuah trak kontena berdaftar Malaysia, yang dipandu oleh Palaniappan.

Ular-ular itu disembunyikan dalam longgokan kain dalam sebuah kotak gabus yang disimpan di bahagian atas tempat duduk pemandu.

Siasatan menunjukkan Palaniappan bersetuju membantu seorang lelaki di Malaysia menghantar ular-ular itu kepada seorang penerima yang tidak diketahui di Singapura.

Dia diupah RM300 (S$94) bagi tugasan itu. Dia mengambil kotak berisi reptilia itu di Johor Bahru pada 7 April kerana dia mahu menghantar simen ke sebuah syarikat di Singapura pada hari tersebut.

Selepas dirampas pada malam itu, ular-ular sawa itu dibawa ke Mandai Wildlife Group untuk diperiksa pada keesokan harinya.

Seorang doktor di jabatan pemuliharaan, kajian dan verterinar mengesahkan kedua-dua ular sawa itu mengalami kecederaan yang dikaitkan dengan pengendalian yang lemah dan keadaan persekitaran yang teruk.

Ini sekali gus menyebabkan sisihan tulang belakang, radang mulut dan bengkak mata pada kedua-dua haiwan itu.

Seorang doktor haiwan Lembaga Taman Negara (NParks) juga mendapati kedua-dua ular sawa itu mengalami penyakit-penyakit kronik yang boleh menyebabkan kesakitan dan keadaan pengangkutan itu turut menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya berlaku.

Pendakwa bagi pihak NParks, Ron Goh mengusulkan denda yang dikenakan itu, sambil menegaskan bahawa terdapat kepentingan awam untuk mencegah kes-kes penyeludupan sedemikian.

Beliau juga menarik perhatian kepada risiko besar terhadap kesihatan awam dengan penyeludupan hidupan liar, yang boleh membawa penyakit yang tidak diketahui, jika ia tidak dikurantin atau diperiksa.

Hukuman terhadap kesalahan mengimport tanpa permit sebarang spesies yang hampir pupus atau dilindungi adalah hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$50,000 bagi setiap spesies yang dilindungi, sehingga jumlah S$500,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan