Pemandu didakwa cederakan 3 orang; undur van rempuh kedai kopi sesak di Tuas
Seorang lelaki berusia 64 tahun diheret ke mahkamah hari ini (17 Jan) dan didakwa atas satu kemalangan yang berlaku tahun lalu, menyebabkan dua orang patah tulang dan individu ketiga mengalami lebam. Ini setelah pemandu itu dituduh memijak pemecut ketika kenderaan ditukar ke gear undur.
(Gambar: Kevin Lim)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 64 tahun diheret ke mahkamah hari ini (17 Jan) dan didakwa atas satu kemalangan yang berlaku tahun lalu, menyebabkan dua orang patah tulang dan individu ketiga mengalami lebam. Ini setelah pemandu itu dituduh memijak pemecut ketika kenderaan ditukar ke gear undur.
Tan Hwee Koon, rakyat Singapura, berdepan satu tuduhan menyebabkan kecederaan teruk akibat perbuatan cuai dan satu lagi tuduhan menyebabkan kecederaan dengan melakukan perbuatan cuai pada 12 Mac tahun lalu.
Mediacorp sebelum ini melaporkan insiden tersebut berlaku sekitar waktu tengah hari di Chuang Hock Eating House di 18 Gul Street 3 di Tuas. Ketika itu, kedai kopi tersebut penuh sesak dengan pelanggan yang sedang makan tengah hari.
Seorang saksi berkata, ketika itu, bahawa van berwarna perak tersebut merempuh premis kedai kopi berkenaan sejauh lima meter, meremukkan pembahagi batu bata dan melanggar seorang penjual di gerai buah-buahan. Wanita itu dan seorang lagi lelaki, yang dikenal pasti sebagai pelanggan, kemudian dikejarkan ke hospital menaiki ambulans.
Menurut dokumen mahkamah, Tan dikatakan memijak pemecut apabila dia berada di sebuah petak meletak kenderaan, lantas menyebabkan van itu secara mendadak berundur ke arah kedai kopi tersebut.
Kertas pertuduhan bagaimanapun tidak memberikan lebih banyak maklumat tentang mengapa Tan berada di sana ketika itu dan sama ada kenderaan tersebut adalah van peribadinya.
Polis sebelum ini menyatakan dua lelaki dan seorang wanita, berumur antara 40 dengan 69 tahun, berada dalam keadaan sedar apabila dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong.
Tan menyatakan niatnya untuk mengaku bersalah dan akan kembali dihadapkan ke mahkamah pada 10 Mac. Dia kekal bebas diikat jamin sebanyak S$5,000.
Jika disabit kesalahan melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kecederaan teruk, Tan boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan dengan melakukan perbuatan cuai boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda tidak melebihi S$2,500 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.