Pemandu diberkas, rempuh kenderaan di trafik cuba larikan diri dari polis; senjata ditemui dalam kereta

Petikan gambar dari video yang merakam insiden (kiri) dan senjata yang dirampas polis dari kenderaan pada 28 Mei 2024. (Gambar-gambar: Facebook/ Singapore Road Accident, SPF)
Polis menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu (29 Mei) menyatakan pihaknya menerima panggilan pada 5.50 petang yang meminta bantuan dikerahkan ke persimpangan antara Admiralty Road dengan Marsiling Lane.
Pegawai yang tiba di tempat kejadian melihat seorang pemandu lelaki cuba menyelit di antara kenderaan lain yang tidak bergerak.
Pemandu lelaki itu diberkas selepas berlaku pergelutan. Beberapa barang turut dirampas daripada kenderaannya.

Dalam video tersebut, kelihatan sebuah Mitsubishi Lancer berwarna kelabu berhenti di lampu merah.
Seorang lelaki yang memakai kemeja-T berwarna kelabu berlari masuk gambar dan berhenti di hadapan Mitsubishi itu.
Dia memberi isyarat kepada pemandu kenderaan di sekitar Mitsubishi itu, seolah-olah meminta pertolongan menghalang Mitsubishi itu daripada meninggalkan tempat kejadian.
Sebaik sahaja lampu trafik bertukar hijau, Mitsubishi itu cuba bergerak tetapi dihalang lelaki berbaju kelabu itu serta beberapa kenderaan lain.
Tidak lama kemudian, dua pegawai polis tiba dan cuba menghalang Mitsubishi itu. Pemandu terbabit sekali lagi cuba menyelit keluar daripada 'perangkap kenderaan' dan akhirnya merempuh kenderaan di lorong lain.
Seorang pegawai polis seterusnya memecah tingkap Mitsubishi itu dan pemandunya akhirnya ditangkap.
DIUJI POSITIF DADAH
Lelaki terbabit kemudian didapati dikehendaki polis dan Biro Narkotik Pusat (CNB) atas pelbagai kesalahan.
"Siasatan awal oleh CNB mendapati sampel air kencing lelaki itu diuji positif dadah bagi dadah terkawal," menurut polis.
Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Khamis (30 Mei) kerana bertindak terburu-buru dan memiliki senjata.
Sesiapa yang memiliki senjata seperti buku lima besi boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan sekurang-kurangnya enam sebatan.
Polis juga akan memohon untuk menahan lelaki itu untuk siasatan lanjut bagi beberapa kesalahan lain termasuk memandu tanpa lesen dan insurans yang sah, menggunakan kenderaan tidak lagi berdaftar dan memiliki hasil penipuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.