Pemandu dan pemilik syarikat kenderaan cari huraian alternatif hadapi kenaikan kos diesel
Hashim Marsuni, seorang pemandu van mini (kiri) dan Pengarah syarikat Singapore Bus Charter, Jitesh Dhillon (kanan) antara yang mengalu-alukan sokongan pemerintah untuk menampung sebahagian kenaikan kos. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Pemerintah mengumumkan sokongan buat sementara waktu bagi perkhidmatan bas penting tertentu, bagi meringankan kesan krisis di Timur Tengah terhadap rakyat Singapura.
PERLU CARI HURAIAN LAIN SELAIN MENUNGGU SOKONGAN PEMERINTAH HADAPI KENAIKAN KOS DIESEL
Sekitar dua bulan lalu, Hashim Marsuni, seorang pemandu van mini, hanya membayar kira-kira S$2.64 seliter bagi diesel.
Namun, dek perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, beliau perlu menampung kos lebih 70 peratus lebih mahal untuk minyak diesel.
Setakat Khamis (9 Apr), harga minyak diesel sudah mencecah hampir S$4.70 seliter.
Kenaikan itu jelas membebankan para pemandu seperti Encik Hashim, 64 tahun, terutama sekali kerana ia menjejas pendapatan harian mereka.
Situasi kenaikan harga diesel itu belum pernah dialami Encik Hashim secara ketara sepanjang 18 tahun berkhidmat sebagai pemandu van.
Ia bahkan, bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi bagi pemandu sepertinya yang bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan itu sebagai satu-satunya sumber mata pencarian.
"Sebab saya perlukan kerja ini. Tak boleh harga naik, saya nak berhenti saya punya (tugas ini). Tak boleh. Sebab mata pencarian saya masih ini saja," ujar Encik Hashim kepada wartawan Syazwani Sanep.
"Mungkin kalau dia berpanjangan dua, tiga bulan, mungkin saya rasa akan terjejas sangat. Sekarang mungkin saya masih boleh tampung kenaikannya. Cuma saya minta juga bantuan keluargalah pasal kenaikan harga diesel," luah Encik Hashim.
Lantaran itu, pengumuman pemerintah untuk menyokong buat sementara perkhidmatan yang ditawarkan seperti beliau amat dialu-alukan.
Pemandu seperti Encik Hashim dijangka dapat meraih manfaat daripada langkah pemerintah tersebut.
Namun, bagi Encik Hashim, sokongan pemerintah sahaja tidak mencukupi untuk menghuraikan cabaran kenaikan kos yang kian meningkat.
Lantaran itu, beliau sudah memikirkan beberapa cara untuk menampung kos.
"Minyak diesel naik, "job"nya tetap sama juga. Saya (rancang) menampung kos diesel itu dengan cari pekerjaan tambahan seperti mungkin Grab ke ataupun perkhidmatan kenderaan sewa privet yang lain untuk menampung. Dan sementara itu, saya minta bantuan keluarga untuk menampung kos (diesel)," keluh Encik Hashim.
Beliau menjangkakan bahawa cara tersebut boleh menampung kira-kira 50 peratus daripada kenaikan harga diesel.
Selain itu, Encik Hashim juga bersedia sekiranya perlu menaikkan harga untuk para penumpang menggunakan khidmatnya, sekiranya situasi semakin memburuk.
KETIDAKPASTIAN TEMPOH LONJAKAN KOS DIESEL MASIH CETUS KEBIMBANGAN
Bagi Pengarah syarikat Singapore Bus Charter, Jitesh Dhillon pula, beliau mengalu-alukan pengumuman pemerintah itu bagi menyokong perkhidmatan bas penting, yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban akibat lonjakan harga diesel.
Buat masa ini, Encik Jitesh, 39 tahun, terpaksa mengorbankan keuntungan bagi menampung kos tambahan.
"Sebenarnya lebih murah untuk saya memberhentikan operasi kenderaan, membayar pemandu dan kakitangan gaji minimum seperti yang dijanjikan, daripada terus menjalankan bas tetapi mengalami kerugian. Itu yang menjadi persoalan dari segi kemampanan syarikat dalam jangka panjang, jika kami terpaksa menuju ke arah itu," ujar beliau lagi.
Encik Jitesh kini masih mengenakan kadar tetap antara S$100 hingga S$150 bagi setiap perjalanan.
Lantaran itu, beliau akan mempertimbangkan untuk beralih kepada sistem caj berdasarkan jarak, berbanding kadar tetap yang dilaksanakan kini, bagi menyesuaikan keuntungan serta menampung kenaikan kos diesel.
Buat masa ini, beliau menguruskan lebih 15 pemandu, yang turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi sekolah tadika dan pusat jagaan kanak-kanak.
Namun, menurut Encik Jitesh, kebimbangan utamanya bukanlah mengenai syarikat atau keuntungan, tetapi kebajikan pekerja menjadi keutamaannya.
"Saya tidak meletakkan beban ini kepada para pemandu kerana saya tidak mahu mereka berasa cemas. Saya hanya membiarkan syarikat berjalan seperti biasa buat masa ini. Ini kerana, seperti invois bulan Mac kami, kesannya masih belum dirasai sepenuhnya. Ia dijangka akan (dirasakan) lebih ketara sekitar bulan Jun atau Julai. Apabila masa berlalu, kos yang perlu ditanggung juga akan semakin meningkat," ujar Encik Jitesh.
"Saya lebih bimbang tentang kakitangan saya. Mereka mempunyai keluarga untuk disara. Pada akhirnya, apabila saya mengambil mereka bekerja, menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga kebajikan mereka," tambah beliau.
Beliau turut berkongsi bahawa kenaikan harga diesel adalah yang tertinggi yang pernah disaksikannya sepanjang 11 tahun mengendalikan syarikat tersebut.
Antara sokongan pemerintah yang diharapkan Encik Jitesh juga termasuk menghapuskan skim cukai jalan bagi bas atau kenderaan komersial buat sementara waktu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.