Skip to main content

Singapura

Pemandu Bentley didakwa lakukan tindakan melulu menyebabkan kecederaan di Sekolah Red Swastika

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki dan anak lelakinya didakwa pada Rabu (11 Mei) kerana disyaki terlibat dalam satu insiden membabitkan sebuah kereta Bentley di Sekolah Red Swastika pada Januari lalu.

Neo Hong Chye, 61 tahun, dikenakan dua tuduhan melakukan tindakan melulu sehingga menyebabkan kecederaan dan memandu kenderaan tanpa perlindungan insurans.

Dia dituduh memandu kenderaan yang dikawalnya itu ke hadapan dan menyebabkan Encik Neo Ah Whatt mengalami kecederaan pada lutut kanannya di luar sekolah tersebut, sekitar pukul 7.30 pagi pada 11 Januari lalu.

Encik Neo ditawarkan ikat jamin sebanyak S$15,000 dan akan kembali menghadap mahkamah pada 24 Jun untuk persidangan sebelum perbicaraan.

Anak lelaki Encik Neo, Glynn Neo Jia, 28 tahun, dikenakan dua tuduhan atas kesalahan menukar nombor plat kereta dan membenarkan orang lain untuk menggunakan kenderaan tanpa perlindungan insurans. Dia juga akan kembali menghadap mahkamah pada bulan depan.

Polis dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa malam (10 Mei) menerima aduan pada 11 Januari lalu, sekitar jam 11.40 pagi, mengenai satu kes membabitkan seorang pemandu kereta yang didakwa membahayakan keselamatan seorang pengawal keselamatan di sekolah tersebut di Bedok North.

Pemandu berkenaan ditangkap pada hari yang sama sekitar jam 3.35 petang.

Kesalahan melakukan tindakan melulu sehingga menyebabkan kecederaan membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah menukar nombor plat kenderaan boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan menggunakan atau membenarkan penggunaan kenderaan tanpa perlindungan insurans, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan, didenda tidak melebihi S$1,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, pesalah juga akan dilarang memiliki atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh 12 bulan dari tarikh sabitan, menurut polis dan LTA.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita