Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu bas Singapore-Johor Express didakwa bergerak semasa penumpang turun bas, sebabkan kakinya digilis

Seorang pemandu bas gagal memeriksa sama ada penumpangnya yang terakhir sudah turun daripada bas sebelum dia bergerak, menyebabkan penumpang itu terjatuh lalu digilis oleh bas tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang pemandu bas gagal memeriksa sama ada penumpangnya yang terakhir sudah turun daripada bas sebelum dia bergerak, menyebabkan penumpang itu terjatuh lalu digilis oleh bas tersebut.

Gunaselan R Subramaniam, seorang warga Malaysia berusia 45 tahun, didakwa pada Jumaat (8 Mac) kerana menyebabkan cedera parah gara-gara tindakan cuai, selepas mempertahankan diri daripada tuduhan itu semasa perbicaraan mahkamah.

Mahkamah diberitahu bahawa Gunaselan adalah seorang pemandu bas yang digajikan oleh Singapore-Johor Express, iaitu syarikat yang menyediakan khidmat pengangkutan antara Singapura dengan Malaysia.

Pada pagi 24 Jun 2019, dia memandu bas yang dinaiki beberapa penumpang, termasuk mangsa, Tuminah Sapie, 74 tahun.

Kira-kira pukul 10.45 pagi, dia berhenti di ruang berlepas di Pusat Pemeriksaan Woodlands untuk menurunkan penumpang.

Tidak lama selepas Gunaselan memandu pergi, Cik Tuminah ditemui terbaring dalam keadan berlumuran darah selepas tayar belakang bas itu menggilis kedua-dua kakinya.

Semasa perbicaraan, Gunaselan berhujah bahawa dia tidak bertindak cuai dan tidak mungkin mengancam keselamatan Cik Tuminah.

Cik Tuminah menyatakan beliau sedang berdiri di tangga dekat pintu keluar belakang bas itu apabila beliau merasakan bas itu mula bergerak.

Menurutnya, beliau tidak dapat mengimbangi badannya apabila bas itu bergerak serta-merta dan beliau terjatuh daripada bas tersebut.

Ketika beliau terbaring di atas lantai, beliau merasakan bahawa kedua-dua kakinya digilis oleh tayar bas tersebut.

Gunaselan mengaku bahawa beliau dapat rasa bas yang dipandu seolah-olah "menaiki bonggol" selepas dia menutup pintu dan memandu untuk jarak yang singkat.

Pihak pendakwa menunjukkan gambar-gambar apabila Cik Tuminah terjatuh daripada bas tersebut.

Cik Tuminah dikejarkan ke hospital dengan keretakan pada bahagian bawah tubuh badannya, termasuk kaki, jari kaki dan tulang bahagian kemaluan. Bahagian bawah kaki kanannya disifatkan dalam dokumen mahkamah sebagai "hancur di bahagian hujungnya".

Pihak pendakwa raya berhujah bahawa Gunaselan bertindak cuai kerana dia tidak memeriksa skrin pemandangan dan cermin kiri sebelum memandu.

Timbalan Pendakwa Raya Ariel Tan mendakwa pemandu itu sedang menggunakan telefon bimbit, tetapi Gunaselan yang diwakili oleh Encik A Revi Shanker, menyangkalnya.

Seorang lagi penumpang memberi keterangan untuk menyatakan bahawa beliau terdengar Gunaselan berbual di telefon ketika beliau sedang turun daripada bas.

Beliau mengatakan bahawa dia terus berbual di telefon selepas menghentikan bas untuk membenarkan penumpang turun.

Cik Tuminah juga menyokong keterangan itu sambil berkata beliau terdengar suara Encik Gunaselan ketika beliau sedang turun bas.

Dia akan dihadapkan semula ke mahkamah untuk mengemukakan rayuan dan dijatuhi hukuman pada 15 Mac.

Buat sementara waktu ini, dia dibenarkan untuk meninggalkan Singapura antara 8 hingga 14 Mac kerana dia dikekalkan sebagai pemandu Singapore-Johor Express dan kini adalah seorang kakitangan tetap.
 
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan