Pemandu bas sekolah dijel sebabkan bahu budak lelaki 12 tahun terkehel

Gambar hiasan: iStock
SINGAPURA: Gara-gara menyangka seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang duduk di bahagian belakang bas sekolahnya tumpahkan minuman dan marah kerana budak itu tidak menggunakan tali pinggang keledar, seorang pemandu bas mengangkatnya dan menyebabkan bahu budak tersebut terkehel.
Poh Choon Huat, seorang warga Singapura yang berusia 64 tahun, pada Selasa (9 Jan) dijatuhi hukuman penjara selama tujuh minggu dan diarahkan untuk membayar S$138 kepada budak lelaki itu sebagai pampasan bagi bil perubatannya.
Jika dia tidak membayar pampasan itu, dia perlu menjalani hukuman penjara sehari lagi.
Poh mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap budak lelaki itu, di mana dia tidak berniat melakukan demikian tetapi itu yang berlaku.
Mahkamah diberitahu bahawa budak tersebut merupakan seorang pelajar Darjah 6 di sebuah sekolah, yang tidak didedahkan namanya dalam dokumen mahkamah. Budak lelaki itu juga tidak didedahkan namanya di bawah arahan makamah demi melindungi identiti mangsa.
APA YANG BERLAKU
Pada 31 Julai 2023, budak lelaki itu menaiki bas sekolah berkenaan dengan rakannya dan mereka duduk di barisan terakhir tempat duduk di dalam bas.
Budak lelaki itu membantu rakannya untuk membuka tin minuman teh hijau lalu menyerahkan tin tersebut kepada rakannya.
Bas itu bagaimanapun tiba-tiba berhenti dan rakan budak lelaki terbabit menjatuhkan tin tersebut lalu menumannya tertumpah.
Budak lelaki itu menjerit untuk memaklumkan kepada atendan bas tersebut, yang memarahi budak tersebut serta rakannya.
Pendakwa raya berkata budak lelaki itu cuba menjelaskan bahawa dia tidak menumpahkan minuman itu, tetapi atendan bas tersebut berkata dia akan melaporkannya kepada gurunya.
Bas tersebut berhenti di hadapan di sebuah kondominium di Tampines dan Poh memarahi budak lelaki itu, dengan berkata: "Awak masih nak mempertikaikannya?"
Budak lelaki itu cuba menjelaskan, tetapi Poh berkata bahawa dia akan memberitahu gurunya dan meminta budak lelaki tersebut meninggalkan bas berkenaan.
Poh kemudian menarik pergelangan tangan kiri dan bahu kiri kanak-kanak itu, melanggar pipinya dan mahu menariknya dari tempat duduknya.
Budak lelaki itu memegang erat kerusi dan tali pinggang keledarnya dan menjerit bahawa dia enggan meninggalkan bas berkenaan. Dia juga berteriak kepada Poh dengan mengatakan bahawa Poh tidak sepatutnya menyentuhnya.
Pada ketika ini, kakak budak lelaki itu yang berusia 11 tahun, yang juga berada dalam bas berkenaan, memekik supaya seseorang merakam video dan rakan budak lelaki itu cuba menekan kata kunci bagi telefon bimbitnya untuk berbuat demikian.
Atendan bas tersebut bagaimanapun menghalangnya dan Poh kembali memandu bas berkenaan.
Apabila budak lelaki itu kemudian berjumpa dengan neneknya, dia memberitahu neneknya apa yang berlaku dan menangis. Nenek tersebut bersemuka dengan Poh, yang hanya ketawa dan menafikan apa yang berlaku.
Apabila nenek budak lelaki itu bertemu dengan cucunya, beliau menangis dan mempunyai kesan merah pada bahu dan tidak dapat mengangkat tangannya dengan betul.
Kanak-kanak itu berjumpa dengan doktor pada 2 Ogos 2023 dan disahkan mengalami kecederaan bahu terkehel, kesan calar pada pipi kiri dan sakit bahu kiri dengan rasa sesemut pada lengannya.
Atas kesalahan menyebabkan kecederaan tanpa niat menjadi teruk tetapi berlaku sedemikian, Poh boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.