Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu bas privet dipenjara cuba sogok pegawai ICA di Pusat Pemeriksaan Woodlands

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Gara-gara ingin meraih wang tambahan dengan mengambil penumpang dari Pusat Pemeriksaan Woodlands, Alagendra Ranjan cuba menyogok seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) supaya dia dibenarkan berada di tempat menunggu bas dengan lebih lama.

Apabila tidak dapat berbuat demikian, pemandu bas itu memanggil pegawai terbabit "babi" sebelum beralih dari tempat tersebut.

Insiden berlaku pada lewat Jumaat, yang mana kesesakan trafik lazimnya berlaku.

Pada Isnin (5 Jun), warga Malaysia berusia 32 tahun itu mengaku bersalah kerana cuba menyogok pegawai ICA. Dia dijatuhi hukuman penjara selama empat minggu.

Satu lagi dakwaan menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai perkhidmatan awam turut dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

APA YANG BERLAKU?

Sebagai seorang pemandu bas bagi syarikat Amashan Tour and Travel Sdn Bhd, Alagendra melintasi Pusat Pemeriksaan Woodlands setiap hari dengan memandu sebuah bas yang mampu memuatkan 44 penumpang.

Alagendra membawa para pekerja ulang-alik antara Lapangan Terbang Changi dengan Johor. Dia melakukan enam perjalanan sebegitu setiap hari.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Shamini Joseph berkata, pada 12 Mei tahun ini, Alagendra menghantar 17 pekerja dari Lapangan Terbang Changi ke Johor. Dia tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada sekitar 7.30 malam.

Para penumpangnya kemudian turun dari bas dan melalui pemeriksaan imigresen, sementara Alagendra memandu ke kaunter bas dan melepasi pemeriksaan imigresen pada 8.18 malam.

Dia kemudian memandu ke laluan yang dikhaskan bagi bas-bas khidmat awam.

Ini mendorong Sarjan Khairul Anwar Khairudin, seorang pegawai ICA, untuk mendekati Alagendra dan mengarahnya supaya beralih ke tempat bagi bas-bas privet, yang terletak lebih jauh dari situ, di mana 17 penumpangnya boleh kembali menaiki bas.

Tidak lama selepas itu, Sarjan Khairul menyedari lebih 17 orang sudahpun menaiki bas tersebut tetapi Alagendra masih menunggu lebih ramai penumpang menaiki basnya.

Pada waktu itu, jam sudah menunjukkan pukul 9.00 malam.

Alagendra melakukan demikian kerana dia ingin meraih pendapatan tambahan dengan mengumpul tambang pengangkutan daripada mereka, yang bukan dalam senarai penumpangnya, tetapi mahu ke Johor dengan menaiki bas yang dipandu, kata DPP Joseph.

Memandangkan dataran tersebut sesak dengan banyak bas privet lain disebabkan waktu sibuk sebelah petang pada hari Jumaat, Sarjan Khairul sekali lagi mendekati Alagendra dan menyuruhnya beralih dari tempat itu.

Dia mengundurkan basnya dari tempat menunggu tetapi tetap berhenti untuk mengambil lebih ramai penumpang.

Sarjan Khairul sekali lagi menghampiri Alagendra untuk bertanya, mengapa dia masih ada di sana.

Dia menjelaskan, dia mahu meraih pendapatan tambahan dengan mengambil lebih ramai penumpang. Sarjan Khairul seterusnya bertegas mengarahnya beralih dari tempat menunggu itu.

Ini membuat Alagendra berbisik ke pegawai itu: "Berapa yang anda mahu?"

Dengan melakukan demikian, dia cuba menyogok Sarjan Khairul supaya basnya dibenarkan menunggu di kawasan bas privet itu, kata DPP Joseph.

Sarjan Khairul menyuruh Alagendra mengulangi apa yang dikatakan. Ini membuat Alagendra marah dan memanggil pegawai itu "babi" sebelum beralih dari dataran berkenaan.

Sarjan Khairul kemudian melaporkan insiden itu dan Alagendra diberkas pada malam yang sama dia kembali ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Semasa prosedur meringankan hukuman, Alagendra, yang tidak diwakili peguam, memohon pengampunan mahkamah, sambil berkata dia berbuat demikian kerana "tertekan" dan dia tahu Singapura "sangat tegas dalam hal antirasuah".

Hakim Daerah Kanan Bala Reddy membalas: "Anda katakan anda tahu tentang undang-undang antirasuah tetapi anda tetap ingin menyogoknya."

Atas percubaan menyogok pegawai ICA, Alagendra boleh didenda hingga S$100,000 atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan