Pemandu bakal dimaklum amaran banjir menerusi OBU ERP 2.0
Para pemandu yang menggunakan unit dalam kenderaan (OBU) sistem ERP 2.0 akan menerima makluman masa nyata apabila melalui atau menghampiri jalan yang terjejas akibat banjir kilat, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu catatan di Facebook pada Isnin (30 Jun).
Amaran banjir kilat dipaparkan pada unit dalam kenderaan ERP 2.0. (Gambar: Facebook/Penguasa Pengangkutan Darat)
“Semasa hujan lebat, longkang dan parit kami mungkin tidak dapat menampung jumlah air yang banyak buat sementara waktu, lalu menyebabkan banjir kilat. Walaupun banjir ini biasanya surut dalam masa sejam, para pemandu dinasihatkan untuk mengelakkan kawasan yang dilanda banjir dan menggunakan laluan alternatif,” kata LTA.
Ciri baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk meningkatkan fungsi sistem ERP 2.0. Kemas kini akan datang termasuk membolehkan para pemandu membuat bayaran bagi caj ERP yang terlepas menerusi paparan OBU, menurut kenyataan LTA sebelum ini.
Pada masa akan datang, para pemandu juga akan dapat membuat bayaran bagi tol di pusat pemeriksaan dan lesen kereta di luar waktu puncak menggunakan OBU, selepas latihan pemasangan secara menyeluruh di seluruh negara selesai dijalankan.
LTA juga sedang bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bagi membolehkan pembayaran Sistem Letak Kereta Elektronik (EPS) melalui OBU.
“Kami memohon pemahaman dan kesabaran para pemandu semasa operasi berskala besar ini dilaksanakan, sedang kami terus menghuraikan isu-isu yang dihadapi para pengguna dan memperkenalkan ciri-ciri baharu kepada OBU,” kata jurucakap LTA.
KURANG ISU DILAPORKAN BERKAITAN PEMASANGAN OBU
Jumlah kereta yang memerlukan pemeriksaan lanjut di bengkel bagi isu-isu berkaitan ERP 2.0 semakin menurun, menurut LTA sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp. Ia susut daripada purata 1.8 peratus pada November 2023 kepada sekitar 1.3 peratus pada Mei 2025 – meskipun jumlah pemasangan alat itu meningkat.
Setakat ini, lebih 500,000 kenderaan – termasuk kira-kira 300,000 kereta – sudah dilengkapi OBU.
Walaupun masalah yang paling lazim adalah berkaitan pendawaian – disebabkan oleh konfigurasi dalaman kereta yang berbeza-beza – masalah perkakasan, kerosakan peranti atau kecurigaan terhadap gangguan pendawaian dan komponen juga turut dilaporkan.
“Seperti mana-mana pelaksanaan berskala besar, sesetengah kenderaan mungkin mengalami isu yang memerlukan pemeriksaan lanjut," kata LTA. "Bagi kes sedemikian, pemandu dinasihatkan untuk kembali ke bengkel yang memasang alat itu kerana mereka mempunyai rekod yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan.”
Encik Ong Wei Shiong, ketua operasi dan latihan di Indeco Engineers, sebuah bengkel yang menjalankan pemasangan OBU, berkata beliau pernah berdepan kes di mana pemandu cuba mengubah kedudukan OBU mereka sendiri.
“Di mana OBU itu dipasang pada awalnya oleh juruteknik adalah sangat penting,” katanya. “Sebarang pemindahan OBU hanya patut dilakukan oleh kakitangan yang terlatih.”
Satu lagi isu yang sering dilaporkan ialah gantri tempat letak kereta gagal mengesan OBU. LTA menasihatkan para pemandu supaya memberi masa kepada sistem EPS untuk membuat sambungan, serta memastikan kenderaan berada pada kedudukan yang betul sejajar dengan antena gantri.
Pemandu kini boleh membuat temu janji bagi pemasangan OBU secara langsung dengan bengkel yang disahkan, tanpa perlu menunggu pemberitahuan rasmi daripada LTA atau menggunakan portal tempahan LTA.
Pemasangan biasanya mengambil masa antara dua hingga empat jam, bergantung pada jenis dan keadaan kenderaan.
Setiap OBU disertakan dengan jaminan selama lima tahun dan pemandu boleh kembali ke bengkel yang sama sekiranya terdapat sebarang masalah selepas pemasangan.
Untuk menggalak orang ramai untuk menaik taraf, Encik Ong berkata: “Sebagai pemandu, saya dapati sistem ini amat berguna. Ia bijak dan memberi peringatan kepada saya setiap kali saya menghampiri Zon Perak (zon keselamatan untuk pejalan kaki warga emas). Saya juga menerima maklumat trafik masa nyata semasa memandu di ekspreswe, antara ciri-ciri lain.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.