Pemaju digesa bayar kontraktor bonus keselamatan sedang kemalangan di tempat kerja meningkat

(Gambar: Cheryl Lin/CNA)
SINGAPURA: Persatuan Pemaju Hartanah Singapura (REDAS) menggalakkan ahli-ahlinya supaya membayar bonus keselamatan sebagai memberi insentif kepada para kontraktor yang mencatatkan prestasi baik Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH).
Bonus keselamatan ini akan diberikan sewaktu pencapaian projek tertentu bagi mendorong amalan kerja yang lebih selamat.
"Ini akan menjadi satu ganjaran baik dalam menyelaraskan kepentingan perniagaan kontraktor dengan amalan baik WSH," kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad pada Khamis (25 Ogos).
Tambah Encik Zaqy, pemaju mempunyai "pengaruh hebat" sebagai pembeli khidmat untuk meningkatkan piawai keselamatan dan memberi ganjaran kepada kontraktor bagi prestasi keselamatan yang baik.
Encik Zaqy juga mengumumkan langkah-langkah lain untuk mempertingkatkan keselamatan di tempat kerja sewaktu Forum Kepimpinan Keselamatan REDAS di Fullerton Hotel.
Setakat tahun ini, 34 kematian di tempat kerja sudahpun dilaporkan. Jumlah kematian di tapak binaan semakin meningkat setelah kerja-kerja dihentikan dek COVID-19. Sebanyak 12 kes atau hampir 40 peratus daripada jumlah kematian tersebut yang dilaporkan tahun ini melibatkan industri binaan.
Encik Zaqy menarik perhatian jumlah pekerja yang cedera teruk tahun ini "juga membimbangkan". Walaupun jumlahnya merosot sepanjang sedekad yang lalu, industri binaan mencatatkan 84 kecederaan teruk dalam kalangan pekerja pada separuh pertama 2022 setakat ini.
Ini merupakan prestasi yang paling teruk sejak 2014 jika perangkaannya dikira pada kadar tahunan bagi 2022, yang menurut Encik Zaqy "mengecewakan dan tidak boleh diterima".
Dalam ucapannya bagi merasmikan forum tersebut, Encik Zaqy menarik perhatian kepada penerapan budaya menjaga keselamatan yang menurutnya mesti bermula dari pihak pengurusan dan para pemaju pula harus bertindak sebagai peneraju sektor binaan.
"Sebagai pemaju hartanah, anda berada di kedudukan yang terbaik untuk menerajui kepimpinan keselamatan kerana anda menetapkan piawai WSH menerusi syarat-syarat kontrak anda apabila memilih kontraktor," jelasnya.
"Anda menentukan rentak kerja dan anda juga berada di kedudukan untuk memberi ganjaran bagi tingkah laku yang selamat serta mengenakan denda ke atas kelakuan yang lemah."
"Projek binaan serta prasarana kini jauh lebih rumit dan berskala lebih besar, justeru menekankan kepentingan tentang keselamatan di tapak-tapak binaan menerusi kepimpinan yang kolaboratif," kata Presiden REDAS Chia Ngiang Hong
Beliau menambah kepimpinan kolaboratif terutamnya penting apabila terdapat kekangan tenaga kerja di tengah-tengah tunggakan projek binaan, kenaikan kos, isu rantaian bekalan dan cabaran kewangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.