Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelukis S'pura, Azneeta Md Yusuf rangkul anugerah pertandingan seni antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
Pelukis S'pura, Azneeta Md Yusuf rangkul anugerah pertandingan seni antarabangsa

Pelukis S'pura, Azneeta Md Yusuf rangkul anugerah pertandingan seni antarabangsa. (Gambar-gambar: Azneeta Md Yusuf)

SINGAPURA: Pelukis kelahiran Singapura, Azneeta Md Yusuf, diiktiraf dengan Anugerah Khas Seni untuk Harapan bagi Anugerah Seni Palm 2021. 

Cik Azneeta, 58 tahun, mencipta sejarah sebagai anak Melayu tempatan yang pertama untuk meraih anugerah berprestij itu. 

(Gambar: Palm Art Award/Facebook)

Anugerah Seni Palm merupakan sebuah pertandingan seni antarabangsa yang mengiktiraf para artis bagi kesemua jenis media visual. Ini termasuk seni lukis, seni grafik, seni digital, fotografi dan seni arca.

Pertandingan yang dimulakan pada tahun 2002 itu bertujuan menjadi batu loncatan bagi para artis mencapai kemajuan dalam kerjaya masing-masing.

LUKISAN CERMINKAN ISI HATI WANITA

Lukisan berjudul 'The Thoughts of Letting Go. Exuding Positive Auras' (Gambar: Azneeta Md Yusuf)

Cik Azneeta berkongsi lukisan berjudul 'The Thoughts of Letting Go. Exuding Positive Auras' ini sebenarnya mencerminkan perasaan dan isi hati seorang wanita. 

"Apa-apa sahaja seseorang itu alami - yang penting ialah bagaimana mereka membawa diri mereka sendiri untuk mengatasi segala situasi dengan sikap positif," menurut Cik Azneeta. 

Beliau yang pernah menuntut di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) dalam Reka Bentuk Grafik, menambah bahawa lukisannya itu diilhamkan daripada perasaan serta pengalaman peribadinya sendiri. 

Menggunakan akrilik dan pena berdakwat warna emas, Cik Azneeta berjaya menghasilkan sebuah lukisan yang kaya dengan pelbagai corak halus dan rekaan bagi melambangkan perasaan serta emosi yang membelenggu seorang wanita. 

(Gambar: Azneeta Md Yusuf)

Pada awalnya, beliau hanya merancang untuk menghasilkan sesuatu yang jauh lebih ringkas dan mudah. 

Namun, keghairahannya membuatkan Cik Azneeta menambah lebih banyak corak bagi menghasilkan sebuah karya yang menakjubkan. 

Beliau berjaya menghabiskan keseluruhan lukisan itu dalam masa sekitar empat jam sahaja. 

"Secara jujur, saya lebih suka menghabiskan satu lukisan itu cepat-cepat dan lebih ghairah mengalihkan perhatian kepada lukisan lain selepas itu," kata Cik Azneeta yang mengakui bahawa ini adalah satu cara untuk beliau mendorong dirinya melakukan yang lebih baik.

Lukisan "The Two Faced Woman. Mesmerising" (Gambar: Azneeta Md Yusuf)

Untuk pertandingan tahun ini, Cik Azneeta menghantar tiga lukisan bagi penyertaan. 

Lukisan "Fusion of Abstract Art aka Textured" (Gambar: Azneeta Md Yusuf)

Dua lagi lukisan itu berjudul "The Two Faced Woman. Mesmerising" dan "Fusion of Abstract Art aka Textured".

Lukisan "Fusion of Abstract Art aka Textured" dihiasi dengan manik dan labuci. (Gambar: Azneeta Md Yusuf)

Menariknya, lukisan akrilik "Fusion of Abstract Art aka Textured" ini dihiasi dengan manik dan labuci. 

TERUS PERBAIKI DIRI, TIDAK PUTUS ASA

Genggam bara api biarlah sampai jadi arang. Begitulah tekad Cik Azneeta untuk tidak berputus asa dalam memburu kejayaan dalam Anugerah Seni Palm. 

Sebelum ini Cik Azneeta pernah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut pada 2019 dan 2020. 

Selama dua tahun berturut-turut, perunding fesyen dan pereka di The Shophouse Fabric ini, hanya berjaya meraih Sijil Kecemerlangan.

Tahun 2021 membawa tuah buat dirinya apabila penyertaannya kali ini dinobatkan sebagai antara karya terbaik di persada antarabangsa. 
 
Sungguhpun begitu, beliau tetap merendah hati dan menganggap pencapaiannya kali ini sebagai sesuatu yang bermakna.

"Saya tidak boleh terlalu ego atau mempunyai sikap yang negatif seperti merasakan diri saya ini sudah hebat," ujar Cik Azneeta.

"Bagi saya, semua artis hebat dan cemerlang dengan cara mereka masing-masing," tambahnya lagi.

Melangkah ke hadapan, Cik Azneeta ingin memperbaiki dirinya agar dapat mengekalkan prestasinya atau melakukan yang lebih baik.

Perjalanan untuk menjadi lebih baik dan setaraf dengan artis-artis dari Eropah menurutnya masih jauh lagi.

Meskipun berasa bangga dengan pencapaian ini, Cik Azneeta juga berharap lebih ramai bakat tempatan berani tampil dan berkongsi karya-karya mereka serta mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa seperti Anugerah Seni Palm itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan