Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelukis SG, Rosihan Dahim antara 420 pelukis sertai acara Seni Asia Dwitahunan ke-19 di Bangladesh

Seramai empat pelukis dari Singapura diundang untuk mempamerkan karya-karya mereka di acara Seni Asia Dwitahunan ke-19 yang diadakan di Dhaka, Bangladesh tahun ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pelukis SG, Rosihan Dahim antara 420 pelukis sertai acara Seni Asia Dwitahunan ke-19 di Bangladesh

(Gambar: Rosihan Dahim)

BERITAmediacorp: Seramai empat pelukis dari Singapura diundang untuk mempamerkan karya-karya mereka di acara Seni Asia Dwitahunan ke-19 yang diadakan di Dhaka, Bangladesh tahun ini. 

Mereka mewakili bendera Singapura dalam kalangan lebih 490 artis antarabangsa yang terkenal dalam acara seni terunggul di rantau ini.

Acara tersebut akan berlangsung sehingga 7 Januari 2023 dan diadakan di bangunan Galeri Seni Kebangsaan di Dhaka. 

GENRE SUREALISME' KEKUATANNYA, PAMER 2 SENI LUKISAN & 1 VIDEO

''
Jika anda lihat gambar di atas, apa yang terlintas dalam fikiran anda? 

Bagi pelukis karya ini, Encik Rosihan Dahim, beliau sebenarnya ingin menceritakan tentang kehidupan manusia dalam dunia penuh bergelora semasa pandemik COVID-19 yang menjejas harapan seseorang itu untuk menyesuaikan diri dengan norma baru dan untuk terus hidup.

Lukisan itu yang berjudul "LOOK AT ME" adalah antara dua lukisan dan satu video yang dipamerkan Encik Rosihan di acara Seni Asia Dwitahunan ke-19 tahun ini. 

Dua lukisan beliau telah dihasilkan pada 2020 dan secara amnya mengisahkan tentang COVID-19. 

'

Video hasil Encik Rosihan pula diberi judul "THINKERS", yang turut menampilkan tokoh-tokoh dunia termasuk Albert Einstein. 

"Saya mahu orang tonton video saya dan lihat orang-orang di dalam kandungannya yang mana mereka sudah dapat mencipta pelbagai perkara seperti teknologi dan sebagainya. Semua daripada mereka ada pemikiran untuk memperbaiki kehidupan di dunia, ekonomi juga. Itu semua penting."

''

"Jadi saya ingin mereka fikirkan apa yang mereka boleh lakukan untuk dunia, sama juga seperti mereka di dalam video itu, menerusi pelbagai kaedah. Guna pemikiran untuk menjadikan dunia berhasil dan berjaya," kata Encik Rosihan. 

Lebih daripada sekadar mempamerkan hasil karyanya, Encik Rosihan berbesar hati kerana ia juga merupakan satu landasan untuk beliau timba pengalaman serta ilmu daripada para pelukis lain. 

Encik Rosihan berkata: "Kalau di pameran-pameran luar negara, kita dapat jumpa para pelukis antarabangsa. Itu penting kerana pengetahuan dan lukisan setiap pelukis berlainan. Dari Eropah, Asia, semua lain. Dari situ saya juga belajar teknik-teknik dan cara lukisan untuk timba pengalaman dan mereka akan dapat belajar daripada saya juga."

Encik Rosihan mula berjinak-jinak dalam bidang lukisan sejak tahun 1978 dan sejak itu, beliau sudah mengembangkan nama dan sayapnya dalam bidang tersebut. 

'

(Gambar: Lukisan Encik Rosihan Dahim yang dipamerkan di Jepun pada 1983)

Sehingga kini, pelukis genre surealisme itu pernah mengadakan hampir 10 pameran 'solo' di Singapura dan luar negara, termasuk di benua Eropah dan Timur Tengah serta di Vietnam, China, dan baru-baru ini di Dhaka, Bangladesh. 

Dalam pengalamannya sebagai pelukis selama lebih 40 tahun, beliau sudah menghasilkan lebih 1,000 karya sejauh ini.

'' (Gambar: Lukisan Encik Rosihan Dahim yang berjudul 'Warrior Whispers')

Sekitar 400 daripadanya adalah saiz sederhana dan besar, serta pernah ditonjolkan di pameran-pameran tempatan dan antarabangsa. 

"Semua lukisan saya ada ceritanya. Saya bukan lukis untuk mencari mana yang lebih cantik. Saya lukis di luar fikiran saya, dalam genre surealisme."

"Kalau dipamerkan di luar negeri, saya sangat menghargainya kerana ia akan dapat menunjukkan pengalaman saya kepada orang ramai. Yang penting, apa ceritanya dalam lukisan itu dan apa yang difikirkan oleh saya sebagai pelukis," ujar Encik Rosihan. 

''

(Gambar: Lukisan Encik Rosihan Dahim yang dipamerkan di sebuah bilik pameran di Itali)

Selepas penyertaan beliau di acara seni di Dhaka itu, Encik Rosihan berharap untuk buat julung-julung kalinya, mengadakan atau menyertai pameran di Amerika Syarikat. 

Beliau juga berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau berharap para pelukis tempatan juga mempunyai semangat untuk 'menyerantau' dan belajar daripada para pelukis antarabangsa lain. 

"Lihat lebih, belajar lebih. Kita perlu menyerantau dan lihat juga lukisan-lukisan oleh para pelukis luar negara. Jangan pandang lukisan orang-orang kita sahaja kerana kita tidak akan maju. Kalau kita terus belajar, ia akan dapat membuat bidang lukisan di sini lebih kuat," ujar Encik Rosihan. 

Tiga lagi artis dari Singapura yang menyertai acara seni itu adalah Sujak Rahman, Sunar Sugiyou dan Ramli Nawee.

Acara Seni Asia Dwitahunan ke-19 di Bangladesh turut menampilkan hampir 650 lukisan seni.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan