Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelukis batik tersohor Sarkasi Said sakit berat setelah 2 ginjalnya rosak; keluarga mohon doa orang ramai

Tokoh batik tersohor Singapura, Sarkasi Said, sedang sakit berat setelah kedua-dua ginjalnya kini rosak dan tidak lagi boleh dirawat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tokoh batik tersohor Singapura, Sarkasi Said, sedang sakit berat setelah kedua-dua ginjalnya kini rosak dan tidak lagi boleh dirawat.

BERITAmediacorp dimaklumkan, penerima Pingat Budaya 2020 itu yang berusia 81 tahun, sedang terlantar sakit di katil rumahnya sejak keluar hospital sekitar 4 minggu lalu. Beliau sebelum itu dirawat di hospital selama lima hari.

Keluarganya kini memohon agar orang ramai mendoakan kesejahteraan Encik Sarkasi.

"Keadaan bapak sekarang tidak begitu baik kerana kedua-dua ginjalnya tidak berfungsi. Tidak ada rawatan yang boleh mengubati bapak. Jadi doktor cakap suruh bawa pulang," dedah salah seorang anak beliau, Encik Ika Zahari Sarkasi, kepada BERITAmediacorp.

"Kesihatan dia saya lihat semenjak dua minggu ini, menurun. Menurun dengan cepat gitu," tambah Encik Ika lagi.

Menurut beliau, bapanya itu mengalami masalah buah pinggang sejak kira-kira dua tahun lalu. Kini keadaan ginjal tersebut terus memburuk dan tidak lagi boleh dirawat dengan dialisis.

"Sekarang ini (beliau) sudah tidak boleh menjalani dialisis lagi kerana nanti organ-organ lain akan kurang berfungsi dengan begitu baik," menurut Encik Ika, yang sebak semasa menceritakan tentang keadaan ayahnya sekarang ini.

Sejak dua minggu lalu, Encik Sarkasi sekadar boleh makan dua hingga tiga sudu makanan sahaja setiap hari, kata anak beliau itu. Semalam (10 Okt), ikon batik itu sekadar makan satu sudu makanan sahaja.

"Apa yang betul-betul sedihnya adalah kesakitan yang beliau lalui. Itu yang betul-betul kita dapat rasa. Kadang-kadang beliau ok, boleh bercakap. Kadang-kadang beliau tidak boleh bercakap. Kadang-kadang bila nampak kita, beliau berbual tentang masa-masa dahulu. Kita cuba bercakap dengannya supaya beliau dapat berfikir, berbual.”

(Gambar fail: Maya Gallery Singapore/Facebook)

(Gambar fail: Maya Gallery Singapore/Facebook)

Encik Ika hari ini (11 Okt) berkongsi kepada kami bahawa semasa beliau berbual dengan ayahnya semalam, Encik Sarkasi meminta disampaikan kepada orang ramai bahawa beliau "memohon maaf kepada semua orang" dan beliau meminta juga masyarakat agar mendoakannya.

MOHON JANGAN KUNJUNGI SARKASI BUAT MASA INI

Sungguhpun bersedia berkongsi tentang keadaan dan berita hiba mengenai Encik Sarkasi, Encik Ika memohon supaya kenalan ayahnya atau orang ramai tidak datang berkunjung ke rumahnya untuk berziarah.

Ini demi keselamatan Encik Sarkasi di tengah-tengah penularan COVID-19 sekarang ini. Mentelah lagi, disebabkan usia dan keuzurannya, daya melawan penyakit Encik Sarkasi kini cukup rendah dan lemah.

"Kepada semua kenalan dan sahabat, mohon doanya. Ika sekeluarga mohon maaf kerana disebabkan COVID, susah kita nak aturkan untuk mereka yang ingin berjumpa dengan ayah. Mungkin boleh hubungi saya langsung. Kita boleh buat panggilan video. Ini untuk keselamatan keluarga dan untuk semua. Saya harap semua faham," rayu Encik Ika menerusi BERITAmediacorp.

BAKAT BERTARAF ANTARABANGSA

Seorang seniman veteran, beliau sudah mengabdikan lebih 60 tahun daripada usianya kepada kesenian dan pendidikan batik.

(Gambar fail: Hoong Wei Long/Muzium NUS)

(Gambar fail: Hoong Wei Long/Muzium NUS)

Lukisan batik Encik Sarkasi yang sering ditanda tangan dengan perkataan 'Tzee', iaitu singkatan namanya, dikumpul dan disimpan oleh ramai orang kenamaan dalam dan luar negara termasuk kerabat diraja seperti Sultan Brunei.

Lukisan beliau juga dipamerkan di Istana dan kedutaan-kedutaan Singapura di luar negara.

Pelukis batik yang terkenal dengan tutur kata dan perawakan cukup lemah lembut itu turut pernah menjulang seni batik beliau menerusi pameran-pameran di Jepun, Amerika Syarikat, Indonesia dan Perancis.

Pada 2003, Encik Sarkasi mencatat namanya dalam Buku Rekod Dunia Guinness setelah beliau melukis batik terpanjang dunia - sepanjang 103 meter!

SEHARUSNYA TERBIT BUKU BATIK SEBELUM DISEMBER

Ditanya apakah antara projek yang sempat diusahakan Pak Sarkasi sebelum beliau jatuh sakit, Encik Ika berkata bapanya terdahulu teringin sekali untuk menulis sebuah buku.

Gambar fail Sarkasi Said melukis. 

"Buku tentang lukisan-lukisan. Beliau menulis buku itu untuk murid-murid. Biar mereka dapat motivasi untuk berkarya dalam seni lukisan batik," terang Encik Ika yang juga merupakan seorang pelukis batik mapan.

Buku yang turut menyelitkan kata-kata perangsang Pak Sarkasi itu, menurut Encik Ika lagi, seharusnya dikeluarkan sebelum Disember ini.

"(Buat masa ini) kita masih sibuk dengan keadaan bapak. Insya Allah kita tengok keadaan macam mana tapi saya akan pastikan yang buku itu akan kita keluarkan, secepat mungkin," kata Encik Ika.

Selaku penerima Pingat Budaya pada tahun lalu, Pak Sarkasi layak menerima geran sehingga S$80,000 yang bertujuan menyokong usahanya memperkaya landskap seni di Singapura. Geran itulah yang mahu dimanfaatkan bagi penerbitan buku tersebut dan juga sebuah pameran mengenai karya-karya beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan