Skip to main content

Singapura

Peluasan TTFS pelaburan penting, perkukuh masa depan generasi muda

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Peluasan Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) dilihat sebagai satu pelaburan penting dalam memperkasa masa hadapan generasi muda, dengan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran.

Demikian dikongsi Anggota Parlimen (AP), Hazlina Abdul Halim, ekoran peluasan TTFS yang diumumkan Pemangku Menteri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri di Parkroyal Collection Marina Bay pada Jumaat (10 Apr).

“Peningkatan dari segi bantuan TTFS memastikan lebih ramai berpeluang untuk menitikberatkan pendidikan dan mempertingkatkan kemahiran," kata Cik Hazlina.
Related article image
Anggota Parlimen (AP), Hazlina Abdul Halim. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Antara peningkatannya ialah semakan pada kriteria kelayakan.

Had pendapatan isi rumah per kapita akan dinaikkan bagi kesemua tahap subsidi, berbanding sebelum ini yang ditetapkan pada S$1,400 bagi subsidi 100 peratus, S$1,700 bagi subsidi 75 peratus dan S$2,000 bagi subsidi 50 peratus.

Selain itu, satu tahap subsidi baharu sebanyak 25 peratus turut diperkenalkan bagi memperluas sokongan kepada golongan berpendapatan sederhana.

Sebelum ini, skim tersebut hanya merangkumi tiga tahap subsidi iaitu 50 peratus, 75 peratus dan 100 peratus.
"Pelaburan untuk masa depan menerusi pendidikan ini adalah amat penting sekali untuk generasi kita," kata Cik Hazlina.

Menurutnya lagi, pengumuman yang dibuat Dr Faishal bukan sahaja tertumpu kepada pendidikan, malah mencerminkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam memperkasa masyarakat Melayu/Islam.

Menyifatkan bantuan tersebut sebagai penting dalam menyokong keluarga, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Razwana Begum berkata: "Bantuan yang diberikan kepada pendidikan dan pelajaran kanak-kanak memang boleh membantu keluarga-keluarga untuk menolong anak-anak mereka untuk mencapai inspirasi dan cita-cita mereka."

PELUASAN TTFS SEBAHAGIAN DARIPADA SOKONGAN PENDIDIKAN MENYELURUH

Dalam masa yang sama, perhatian turut diberikan kepada keperluan sokongan pendidikan yang lebih menyeluruh, melangkaui bantuan yuran semata-mata.

Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad, berkata meskipun sebahagian besar yuran pengajian kini disokong melalui skim seperti TTFS, pinjaman pelajaran dan bantuan kewangan lain, terdapat aspek lain yang perlu diberi perhatian.
Related article image
Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
“Kos pendidikan hari ini bukan lagi tertumpu kepada yuran semata-mata kerana ia banyak dibantu oleh TTFS, pinjaman dan dermasiswa,” kata Encik Zaqy.

“Pendidikan hari ini bukan sahaja di dalam kelas. Ada yang memerlukan sokongan untuk program seperti pertukaran pelajar, latihan amali atau peluang lain yang membantu mereka membina pengalaman,” tambahnya.

Kali terakhir skim TTFS disemak adalah pada 2018.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita