Skip to main content

Singapura

Peluasan ruang ibadah, pembangunan asatizah perkukuh kehidupan beragama masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
Peluasan ruang ibadah, pembangunan asatizah perkukuh kehidupan beragama masyarakat

(Gambar: Facebook/Al-Istighfar Mosque)

Diterbitkan : 11 Apr 2026 07:48PM Dikemas Kini : 11 Apr 2026 07:53PM
SINGAPURA: Ruang solat tambahan di tapak sementara berhampiran Masjid Al-Istighfar yang bakal memenuhi keperluan jemaah setempat mencerminkan kekuatan masyarakat yang bersatu.

Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Sharael Taha berkata pengumuman tersebut amat bermakna khususnya kerana ia merupakan hasil maklum balas masyarakat Islam di kawasan itu.

“Saya amat gembira dan terharu dengan pengumuman perluasan Masjid Al-Istighfar ini yang merupakan hasil maklum balas masyarakat Islam di Pasir Ris-Changi dan akan menambahkan ruang solat, khususnya bagi solat Jumaat dan Hari Raya,” katanya.

Usaha tersebut turut disokong oleh beberapa inisiatif lain, termasuk penubuhan kumpulan Qaryah ketiga di Blok 555, penggunaan ruang alternatif seperti Dewan Sukan Pasir Ris bagi solat Hari Raya serta pelaksanaan ibadah korban di Masjid Al-Istighfar.

Menurut beliau, usaha tersebut menunjukkan bagaimana kesepakatan masyarakat mampu membawa kepada hasil yang memberi manfaat bersama.

“Apabila masyarakat bersatu, impaknya lebih besar,” tambahnya.
 
Related article image
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Sharael Taha. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Tapak sementara itu akan dibuka sehingga masjid baharu di Tampines North siap dibina.
Selain membangunkan masjid baharu dan menyediakan ruang sementara untuk jemaah, usaha memupuk generasi pemimpin agama seterusnya juga penting dalam memperkukuh kehidupan keagamaan masyarakat.

Ini dilaksanakan menerusi satu program pembangunan kepimpinan baharu yang diumumkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada Jumaat (10 Apr).

Program tersebut akan dibangunkan khusus untuk asatizah Tahap 1 di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), iaitu mereka yang mempunyai ijazah dalam pengajian Islam dan dibenarkan mengajar di pelbagai institusi termasuk ruang awam.

Golongan ini akan dilengkapi dengan kemahiran seperti pemikiran strategik dan penglibatan masyarakat bagi memperkukuh keupayaan kepimpinan mereka secara berterusan.

Antara asatizah yang menyambut baik pengumuman itu ialah Ketua Pembangunan Masyarakat Masjid Al-Muttaqin, Muhammad Khidir Mohamed Ibrahim yang menyifatkan usaha tersebut sebagai penting dalam memperkukuh peranan kepimpinan agama agar terus selari dengan keperluan masyarakat hari ini.

Bercakap kepada BERITA Mediacorp, Ustaz Khidir, 32 tahun, berkata: “Saya melihatnya sebagai satu langkah penting agar asatizah dapat menyesuaikan panduan Islam dengan keperluan masyarakat yang semakin berubah."

Menurut beliau, masyarakat hari ini memerlukan bimbingan yang bukan sahaja tepat dari sudut agama tetapi juga praktikal dan dekat dengan kehidupan seharian.
Related article image
Ketua Pembangunan Masyarakat Masjid Al-Muttaqin, Muhammad Khidir Mohamed Ibrahim. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
PERANAN ASATIZAH SEMAKIN MELUAS DAN KONTEKSTUAL

Akur tentang peranan asatizah yang kini semakin berkembang, Ustaz Khidir berkata peranan itu kini melangkaui penyampaian ilmu semata-mata.

“Mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi juga membimbing masyarakat secara lebih dekat dan kontekstual, sama ada dalam isu belia, keluarga mahupun warga emas,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Anggota Rangkaian Asatizah Belia (AYN) menambah bahawa kemahiran seperti kepimpinan dan pendampingan masyarakat membantu asatizah memahami keperluan berbeza dalam masyarakat.

“Contohnya melalui program Santunan Emas, asatizah bukan sahaja menyampaikan kuliah tetapi juga mendampingi warga emas dari segi sokongan emosi, kesihatan dan persediaan menghadapi fasa akhir kehidupan dengan lebih tenang dan bermakna,” jelasnya.

Namun, usaha pembangunan kepimpinan asatizah tidak sekadar meluaskan peranan bahkan perlu dilihat sebagai satu usaha berterusan.

“Saya melihat ini sebagai satu permulaan. Pembangunan kepimpinan asatizah perlu diteruskan supaya mereka dapat terus membimbing golongan warga emas, belia dan keluarga dengan pendekatan yang relevan dan berkesan,” katanya.

“Apabila asatizah lebih memahami keperluan masyarakat, bimbingan agama akan menjadi lebih dekat, praktikal dan menyentuh kehidupan harian,” kata Ustaz Khidir.

Beliau menambah bahawa pendekatan sedemikian membantu masyarakat menelusuri cabaran serta peluang masa hadapan dalam dunia yang semakin kompleks.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita