Skip to main content

Singapura

Peluasan rangkaian laluan berbasikal akan dipercepatkan; dijangka menelan belanja lebih S$1 bilion

Pembinaan laluan-laluan berbasikal di Singapura sedang dipercepatkan dengan laluan-laluan sedemikian dijangka merentasi sekitar 800 kilometer menjelang 2023. 

Anggaran Waktu Membaca:
Peluasan rangkaian laluan berbasikal akan dipercepatkan; dijangka menelan belanja lebih S$1 bilion

Laluan berbasikal di Singapura. (Gambar: MEWR)

Diterbitkan : 05 Mar 2020 02:00PM Dikemas Kini : 05 Mar 2020 02:01PM

SINGAPURA: Pembinaan laluan-laluan berbasikal di Singapura sedang dipercepatkan dengan laluan-laluan sedemikian dijangka merentasi sekitar 800 kilometer menjelang 2023.

Ini bermakna projek itu akan selesai dua tahun lebih awal daripada jadual asalnya, yang sepatutnya menyaksikan laluan berbasikal sepanjang 750 kilometer di Singapura menjelang 2025. Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min menarik perhatian itu semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Khamis (5 Mac).

Ini setelah Dr Lam mengumumkan tahun lalu bahawa pihak berkuasa sedang merancang untuk mempercepatkan peluasan rangkaian laluan berbasikal selama "beberapa tahun", menyusuli pengharaman ke atas penggunaan e-skuter di laluan-laluan pejalan kaki pada November 2019.

Pemerintah merancang untuk melaburkan lebih S$1 bilion dalam peluasan laluan-laluan berbasikal sepanjang 10 tahun akan datang sebagai sebahagian daripada Program Rangkaian Berbasikal Merata Negara baru, kata beliau.

Menjelang 2023, bandar-bandar Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) akan mempunyai laluan berbasikal. Beliau menambah bandar-bandar "yang kini kekurangan laluan berbasikal atau mempunyai ramai pengguna alat mobiliti aktif" akan menjadi yang pertama dibina dengan laluan berbasikal.

Dalam kenyataannya Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) merujuk kepada 12 kawasan yang buat masa ini mempunyai ketersambungan laluan berbasikal yang terbatas, termasuk Bukit Batok, Hougang dan Marine Parade.

Beberapa bahagian laluan berbasikal akan siap tahun ini di bandar-bandar seperti Ang Mo Kio dan Tampines. Pembinaan laluan berbasikal di Toa Payoh juga akan dimulakan tahun ini.

Tahun depan, kerja-kerja akan dimulakan bagi laluan berbasikal antara bandar di Choa Chu Kang dan Woodlands. Sementara itu, laluan berbasikal di Geylang dan Queenstown yang menghubungkan rangkaian penghubung taman (PCN) dengan pusat bandar juga akan selesai dijalankan.

Di bandar-bandar HDB baru seperti Tengah dan Bidadari, "laluan berbasikal lebih komprehensif" akan diperkenalkan, menurut LTA.

"Menjelang 2026, rangkaian laluan berbasikal Singapura akan diperluuaskan kepada 1,000 kilometer," tambah Dr Lam sambil menekankan bahawa ini akan meletakkan 80 peratus penduduk HDB dalam jarak hanya beberapa minit sahaja dari rangkaian laluan berbasikal.

Kebanyakan penduduk HDB akan berada dalam lingkungan 250 meter dari laluan berbasikal - iaitu setanding dengan kota-kota berbasikal terkenal seperti Amsterdam dan Copenhagen, kata Dr Lam.

Beliau menambah bahawa menjelang 2030, rangkaian laluan berbasikal akan diperluaskan sepanjang 1,320 kilometer ke merata negara ini.

Memberikan respons kepada keprihatinan yang dibangkitkan oleh AP GRC Jurong Ang Wee Neng, Dr Lam menegaskan bahawa tukar ganti adalah perlu dalam membina laluan-laluan seumpama itu dalam estet-estet lebih matang.

"Bagi sesetengah kes, kami mungkin perlu menebus guna kawasan rumput dan ini akan menjejas pokok-pokok. Bagi aspek lain, kami mungkin perlu menyusun semula penggunaan jalan-jalan raya," kata beliau.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita