Skip to main content

Singapura

Peluasan Marina Bay Sands kini bernilai AS$8b, tertangguh lagi ke 2030

Anggaran Waktu Membaca:
 Peluasan Marina Bay Sands kini bernilai AS$8b, tertangguh lagi ke 2030

(Gambar: Marina Bay Sands)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 24 Oct 2024 11:29PM
SINGAPURA: Peluasan Marina Bay Sands (MBS), yang melibatkan kerja-kerja binaan berskala besar termasuk menara keempat, kini dijangka menelan belanja AS$8 bilion (S$10.6 bilion), kata syarikat induknya Las Vegas Sands pada Rabu (23 Okt).

Tertakluk kepada kelulusan pemerintah Singapura, tarikh siapnya projek itu juga mungkin akan ditangguh dari Julai 2029 kepada Jun 2030, dengan pembukaan premis baharu – digelar IR2 – dijadualkan pada Januari 2031.

Perkembangan itu diumumkan oleh Las Vegas Sands dalam pembentangan pendapatannya untuk suku ketiga 2024.

Kos peluasan bernilai AS$8 bilion itu terdiri daripada AS$2 bilion bagi harga tanah; AS$4.7 bilion bagi kos reka bentuk dan binaan, serta kos lain; dan kos sebelum pembukaan dan kewangan berjumlah AS$1.3 bilion.

Peluasan ini direka Moshe Safdie, arkitek di sebalik MBS sedia ada. IR2 akan menyertakan sebuah hotel mewah 570 bilik, yang kesemunya bilik jenis suite; "pengalaman ruang atas bumbung" bertingkat; arena hiburan yang menempatkan 15,000 tempat duduk; lebih banyak ruang MICE (singkatan bagi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran); serta lebih banyak tawaran runcit, F&B dan hiburan malam.

Dalam pembentangannya, Las Vegas Sands berkata bahawa IR2 akan "mempertingkatkan lagi status MBS sebagai mercu tanda seni bina ikonik", "menarik acara hiburan dan artis terkemuka dunia ke Singapura", "melnambah kejayaan Singapura sebagai destinasi MICE" dan "memastikan MBS berada pada kedudukan untuk mengembangkan ekonomi, pekerjaan dan sumbangan destinasi pelancongannya kepada Singapura dalam dekad akan datang".

Projek peluasan MBS – pada mulanya dijangka menelan belanja kira-kira AS$3.3 bilion(S$4.4 bilion) mengalami ditangguh beberapa kali sejak diumumkan pada 2019.

Tarikh siap sebelumnya ialah 2025, namun ditangguhkan untuk siap menjelang 2026.

Sebab utama yang ditukil bagi penangguhan pada masa itu adalah gangguan kepada industri pembinaan akibat pandemik COVID-19.

Pada Februari 2023, Las Vegas Sands berkata bahawa kerja-kerja pada projek itu tidak mungkin dimulakan pada April tahun itu seperti yang dirancang.

MBS kemudiannya diberi tempoh sehingga April 2024 untuk memulakan kerja binaan projek itu, dengan tarikh akhir dijadual siap dilanjutkan hingga 8 Apr 2028.

Pada Januari tahun ini, Las Vegas Sands berkata bahawa kos projek itu "dijangka melebihi nilai awal AS$3.3 bilion" yang dianggarkan pada 2019.Menurutnya ini disebabkan oleh faktor seperti inflasi, COVID-19 dan kos buruh dan bahan, lebih tinggi.

Pada bulan April, diumumkan bahawa pembinaan berskala itu akan dimulakan pada Julai 2025, dan dijadual siap menjelang Julai 2029.

MBS dibuka pada 2010 dengan kos pembangunan AS$5.6 bilion. Ia menggajikan lebih 11,000 orang.
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita