Skip to main content

Singapura

Peluasan M³+ buka ruang lebih luas kepada badan masyarakat sumbang kepakaran: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Mar 2026 03:55PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 03:55AM
  • Pemerintah Singapura memperluas rangkaian M³ kepada M³+ untuk melibatkan lebih banyak badan masyarakat dalam memperkasa masyarakat Islam.
  • Dr Faishal Ibrahim menekankan pentingnya kerjasama antara agensi utama dan badan masyarakat, serta pengiktirafan kepakaran mereka.
  • M³+ turut memberi fokus kepada pembangunan kemahiran AI dan memperluas bidang tumpuan berdasarkan keperluan masyarakat.
  • Beliau menggalakkan semangat gotong-royong dan kesyukuran sempena Ramadan dan Aidilfitri, demi keharmonian dan kemajuan bersama.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Peluasan rangkaian M³ kepada M³+ bertujuan memastikan lebih banyak badan masyarakat dapat menyumbang secara langsung kepada usaha memperkasa masyarakat Islam di Singapura.

Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Faishal Ibrahim, berkata bahawa perubahan tersebut juga dibuat bagi menangani persepsi bahawa inisiatif M³ hanya digerakkan oleh tiga agensi utama sahaja.

“Mungkin jenama M³ itu memberikan persepsi yang inisiatif ataupun konsep ini akan dilakarkan oleh agensi-agensi M³ seperti MENDAKI, MUIS dan MESRA. Jadi bagi badan-badan masyarakat, saya faham mereka merasakan mereka mahukan satu jenama yang merangkumi mereka,” kata Dr Faishal.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam wawancara susulan perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) bagi Ehwal Masyarakat Islam di parlimen pada Khamis (5 Mac).

USAHA UNTUK RAPATKAN JURANG SOKONGAN DI PERINGKAT MASYARAKAT

Dr Faishal menambah keputusan untuk memperkenalkan M³+ dibuat selepas mendengar pandangan daripada pelbagai pihak dalam masyarakat.

Menurut beliau, perubahan kepada M³+ mencerminkan hasrat untuk melibatkan lebih banyak pertubuhan serta rangkaian tidak rasmi dalam masyarakat.

“Perubahan ini bukan sahaja dari segi nama sahaja. Saya dapat merasakan semangat yang ditonjolkan oleh badan-badan Islam ini dan juga badan-badan tidak rasmi semenjak saya mengambil alih tanggungjawab ini, mereka ingin menyumbang dan mereka harap jenama ini pun akan melambangkan sumbangan mereka, penglibatan mereka,” kongsi Dr Faishal.

Dr Faishal menjelaskan bahawa M³+ bertujuan memperkukuh kerjasama antara agensi dan rakan masyarakat supaya program yang dijalankan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.

“M³+ menggabungkan usaha agensi-agensi M³ dan rakan kongsi masyarakat seperti badan-badan Islam, untuk memperkukuh kerjasama serta menyelaras penyampaian perkhidmatan atau program dengan lebih berkesan, sekali gus merapatkan jurang di peringkat akhir.

“Fasa seterusnya akan dilancarkan pada April 2026, di mana sebuah sesi jaringan bersamaan pihak terlibat, akan meneroka peluang baru di mana usaha boleh diselaraskan dengan lebih berkesan,” kata Dr Faishal.
IKTIRAF KEPAKARAN BADAN MASYARAKAT

Dr Faishal juga berharap M³+ dapat terus mengiktiraf kepakaran serta hubungan masyarakat yang dimiliki oleh pelbagai badan masyarakat.

“Saya berharap bahawa M³+ akan lebih mengiktiraf kepakaran khusus serta hubungan masyarakat yang dimiliki oleh badan-badan Islam dan juga bukan pemerintah, serta para penyumbang individu yang telah menjalankan usaha cemerlang di peringkat akar umbi," ujarnya.

Menurut beliau, banyak badan masyarakat mempunyai matlamat yang selari dengan keutamaan M³+.

“Kebanyakan matlamat mereka selari dengan keutamaan yang menjadi asas penubuhan M³+, sekali gus mewujudkan peluang kerjasama yang semula jadi. Oleh itu, kami menantikan peluang untuk meneroka potensi sinergi antara badan-badan, individu dan agensi-agensi M³ melalui sesi rangkaian yang akan datang ini," kata Dr Faishal.

Beliau turut menggalakkan badan-badan masyarakat untuk berkongsi idea dan saranan.

PERKASA MASYARAKAT MELALUI KEMAHIRAN AI

Selain pembangunan sosial, Dr Faishal turut menekankan kepentingan mempersiapkan masyarakat menghadapi perkembangan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Usaha-usaha memajukan AI mesti diterjemahkan kepada hasil yang lebih baik, seperti kehidupan yang lebih terjamin dan peluang yang lebih luas, agar kami dapat bersama-sama melangkah maju dengan yakin,” kongsi Dr Faishal.

Beliau menegaskan pendidikan serta peningkatan kemahiran dalam bidang tersebut perlu dilaksanakan secara praktikal.

“Pemerintah dan agensi-agensinya telah mula mempertingkatkan program-program berkenaan AI merentasi golongan pelajar, belia dan pekerja, hinggalah kepada perniagaan di Singapura, untuk menyediakan peluang untuk membangunkan kemahiran agar dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan dalam bidang AI,” kata Dr Faishal.

Antara contoh yang diketengahkan ialah usaha oleh MENDAKI.
PELUASAN BIDANG TUMPUAN

Dengan lebih banyak usaha dalam masyarakat, Dr Faishal berkata bahawa pemerintah akan terus memperluas bidang tumpuan (FA) berdasarkan keperluan masyarakat yang berubah.

“Kami juga akan memperkukuh sokongan yang disasarkan kepada program dan penyampaian perkhidmatan yang tepat, bagi merapatkan jurang di peringkat akhir.

“Matlamat kami adalah untuk membina sebuah Singapura untuk semua rakyat Singapura, dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan. Justeru, kami akan terus bertindak dengan tegas untuk menangani cabaran yang muncul, serta merebut peluang yang sesuai demi mencapai hasrat tersebut," kongsi Dr Faishal.

Sekarang ini, M³+ mempunyai lima bidang tumpuan, termasuk jagaan kesihatan masyarakat yang dilancarkan pada 2023.

SAMBUTAN RAMADAN DAN AIDILFITRI

Dalam wawancara yang sama, Dr Faishal turut berkongsi perasaannya menjelang ucapan sulungnya semasa Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri kelak.

“Saya akan memberikan ucapan sulung saya pada masa yang sangat istimewa di mana kita pun dalam baru habislah berpuasa dan juga di mana banyak yang terjadi di dunia ini dan lebih lebih lagi apa yang sedang berlaku di Timur Barat, yang mana ia ialah sebagai orang Islam, kita terasa," katanya.

Namun beliau berkata masyarakat Islam di Singapura harus bersyukur kerana dapat menjalankan ibadah dengan aman.

Menurut beliau, ramai anggota masyarakat yang ditemuinya turut menyuarakan penghargaan terhadap keharmonian yang dinikmati di negara ini.

Dr Faishal menambah bahawa masyarakat perlu terus memikul tanggungjawab bersama untuk memperkukuh keharmonian tersebut.

“Walaupun kita punya rangkaian ekosistem itu tidak sempurna. Saya harap kita bersyukur dengan apa yang kita ada. Justeru, saya harap dengan amalan puasa yang kita telah lakukan dan perayaan Aidilfitri yang akan tiba, kita dapat merasakan kesyukuran yang sangat tinggi dengan apa yang diberikan kepada kita," kata Dr Faishal.

SEMANGAT GOTONG-ROYONG JADI KUNCI KEKUATAN MASYARAKAT

Mengulas tentang visinya bagi masyarakat Islam di Singapura, Dr Faishal berkata pembangunan masyarakat perlu dilihat secara menyeluruh dan merentasi setiap fasa kehidupan.

“Dalam beberapa tahun akan datang, saya berharap kita akan terus melangkah maju bersama untuk membina institusi yang berkeupayaan dan diyakini, dan lebih penting, terus saling mendekati mengenai isu-isu yang dekat di hati," kata Dr Faishal.
Menurut beliau, kekuatan masyarakat terletak pada semangat kebersamaan.

"Kekuatan sebenar kita terletak pada semangat gotong-royong yang menjadi pegangan bersama. Semangat ini juga yang mendorong kita membantu jiran tetangga dan bekerjasama merentasi pelbagai batasan. Dengan itu, marilah kita bersatu hati, maju bersama," kata Dr Faishal.

Beliau juga mengingatkan bahawa pembangunan yang dinikmati hari ini adalah hasil usaha generasi terdahulu dan berharap masyarakat akan meneruskan usaha tersebut demi masa depan generasi akan datang.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita